Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pengelasan golongan yang terkecuali (kumpulan T15) daripada mendapatkan subsidi daripada kerajaan, termasuk subsidi petrol akan dimuktamadkan pada suku pertama tahun hadapan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan, tempoh masa akan diberikan kepada rakyat yang masih belum mendaftar dalam sistem data kerajaan untuk mendaftarkan diri bagi membolehkan mereka mendapat subsidi sekiranya layak.

“Perancangannya supaya ia dapat diumumkan pada suku pertama tahun hadapan, maksudnya penentuan kelayakan pengelasan ini akan diumumkan seterusnya akan beri ruang kepada mereka yang belum mendaftar dan bagi mereka yang telah semak dan dapati tidak layak, cadangannya akan ada mekanisma untuk rayuan.

“Perkara ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu dan pelaksanaan di stesen minyak kelak,” katanya menjawab sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Rafizi menjawab pertanyaan Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang ingin tahu bilakah subsidi bersasar bagi petrol akan dilaksanana dan apakah pendekatan yang diambil kerajaan bagi memastikan golongan yang terkesan menerima bantuan sewajarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan masih belum memuktamadkan kategori golongan yang terkecuali daripada mendapatkan subsidi daripada kerajaan, termasuk subsidi petrol.

Anwar berkata, perkara itu masih belum diputuskan walaupun ada yang mentafsirkan mereka yang tergolong sebagai kumpulan T15 adalah mereka yang mempunyai pendapatan lebih RM12,000 sebulan.

Menurut beliau, kategori kumpulan terbabit mungkin boleh diturunkan lagi kepada T10 atau T5.

Malah Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan turut berkata penyasaran subsidi petrol RON95 perlu dilakukan kerana berlaku ketirisan subsidi melibatkan penggunaan oleh golongan yang tidak sepatutnya berikutan perbezaan harga petrol yang besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here