KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad hadir meninjau pameran kesihatan (reruai) milik Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) sempena Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ketika tinjauan itu, beliau turut diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berkaitan produk utama yang dibangunkan iaitu alat bantuan pernafasan (ventilator) atau VS1.

APSB mula membangunkan VS1 pada tahun 2020 menggunakan bahan dan perisian berdasarkan lesen terbuka dari Medtronic.

Syarikat itu berhasrat untuk mempromosikan penggunaan VS1 di seluruh kemudahan kesihatan awam dan swasta di Malaysia termasuk di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melawat reruai Advance Pact Sdn. Bhd. selepas melancarkan peranti VS1 dan peranti Lucenxia pada Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 DISEMBER 2024.

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) turut menyokong APSB dengan menyediakan garis panduan, peraturan dan bantuan dalam bentuk geran, pengurusan harta intelek, perolehan, dan pengkomersialan.

Selain itu, MDA bekerjasama dengan APSB menerusi garis panduan program Sandbox untuk memastikan VS1 mematuhi piawaian kualiti dan keselamatan antarabangsa.

Pelancaran produk itu menandakan satu pencapaian penting perjalanan Malaysia menjadi peneraju global dalam inovasi perubatan dan meletakkan asas untuk impak transformasi INNOMed dalam industri penjagaan kesihatan.

Sementara itu, IMDEC 2024 diadakan secara serentak dengan Mesyuarat Tahunan Global Harmonization Working Party (GHWP) ke-28.

Acara anjuran MDA itu berjaya menghimpunkan lebih daripada 600 delegasi antarabangsa dan 10,000 pelawat daripada pelbagai sektor industri penjagaan kesihatan, termasuk pengilang, pengawal selia, ahli akademik, dan inovator.

Bertemakan ‘Mengoptimumkan Kuasa Teknologi Perubatan, Membentuk Masa Depan Penjagaan Kesihatan’, acara ini menyediakan platform dialog bersama industri, perkongsian ilmu dan kerjasama dalam menangani cabaran kritikal serta menerokai kemajuan teknologi yang mentransformasi sistem penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) bergambar kenangan selepas pelancaran peranti VS1 dari Advance Pact Sdn Bhd dan peranti Lucenxia pada Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 10 DISEMBER 2024.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here