Bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjalan keluar selepas hadir bagi pada perbicaraan atas empat tuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua tuduhan terima wang hasil aktiviti haram RM195 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini membenarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar negara Ahad ini bagi mendapatkan pandangan kedua seorang pakar perunding pengurusan kanser di United Kingdom (UK) berkaitan penyakit kanser pankreas yang dihidapinya.

Bekas Perdana Menteri dijadual memulakan perjalanan pada 15 Disember ini dan bertemu Profesor Brian Davidson yang bertugas di sebuah hospital di London. Beliau dijangka pulang pada 10 Januari tahun depan.

Sehubungan itu, Hakim Azura Alwi memulangkan pasportnya bermula hari ini dan memerintahkan agar dokumen berkenaan dikembalikan pada 14 Januari.

“Mahkamah berpendapat pemohon (Muhyiddin) berhak mendapatkan rawatan perubatan yang terbaik bagi dirinya dan tiada bukti pemohon akan melarikan diri,” kata Azura.

Muhyiddin mengemukakan pasportnya dikembalikan sebelum mahkamah mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk menggabungkan kesemua tujuh pertuduhan yang dihadapinya. Keputusan permohonan itu akan disampaikan pada 16 Januari tahun depan.

Bekas perdana menteri menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang RM200 juta.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah, anak guamya sudah mendapatkan slot temu janji dengan pakar perunding tersebut yang mempunyai latar belakang dalam bidang pembedahan hati, saluran empedu dan pankreas serta dalam pengurusan kanser.

Ujar Hisyam, Muhyiddin dijangka bertemu pakar berkenaan pada 18 Disember ini di Platinum Medical Centre, London selain menziarahi cucunya di negara itu.

Menurut peguam berkenaan, temu janji itu diatur susulan keputusan PET Scan yang dijalani beliau di sebuah hospital swasta di sini baru-baru ini menunjukkan berlaku peningkatan pada bacaan penanda tumor bekas Perdana Menteri itu melebihi paras normal.

“Meskipun masih dalam keadaan peredaan (remission), peningkatan bacaan penanda tumor CA 19-9 sedikit sebanyak mendatangkan kekhuatiran kepada beliau,” ujar Hisyam.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahadi Jumaat membantah permohonan Muhyiddin atas alasan negara ini juga mempunyai pakar serta perunding termasuk fasiliti yang mencukupi untuk mendapatkan rawatan.

Hujah Mahadi, Muhyiddin pernah ke Singapura bagi mendapatkan rawatan dan perkara itu tidak dibantah oleh pihak pendakwaan kerana ia merupakan kesinambungan rawatan kanser.

Beliau yang hadir bersama-sama TPR Noralis Mat dan Zander Lim Wai Keong berpendapat, permohonan kali ini hanya untuk mendapatkan pandangan kedua pakar di luar negara.

“Laporan seorang pakar perunding klinikal onkologi sebuah hospital swasta di sini menyatakan hasil imbasan yang dibuat tahun lalu menunjukkan tiada kesan kanser terbaharu ditemukan pada pemohon,” ujar Mahadi.

Menurutnya lagi, alasan kedua untuk melawat keluarga di UK bukan keperluan mendesak melainkan hanya bersifat peribadi.

Namun Hisyam pula berpendapat, tidak adil jika anak guamnya dilarang untuk mendapatkan khidmat perubatan di luar negara kerana tiada bukti menunjukkan bekas Perdana Menteri berisiko melarikan diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here