KUALA LUMPUR – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bakal melancarkan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAP-BHR) menjelang tahun 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelan tindakan itu bertujuan membantu sektor perniagaan mematuhi piawaian hak asasi manusia peringkat antarabangsa.
Ia juga bagi menyediakan panduan kepada syarikat pelbagai saiz dalam melaksanakan langkah wajar berkaitan hak asasi manusia di samping menangani sebarang isu atau kemudaratan.
“Kerajaan terus komited memperjuangkan hak asasi manusia dan telah mengambil langkah-langkah untuk mewujudkan persekitaran yang selamat, inklusif dan saksama untuk semua.
“Selaras dengan itu, BHEUU dijadual melancarkan NAP-BHR menjelang 2025, dengan matlamat melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, bukan kerajaan, sektor perniagaan, masyarakat sivil serta individu yang terkesan oleh isu hak asasi manusia berkaitan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucaptama pada Majlis Forum Hak-Hak Manusia 2024 di sini hari ini.
Selain itu, Azalina berkata, kerajaan juga akan mencadangkan pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berhubung kes buli siber bagi menangani pelbagai bentuk buli baik secara dalam talian mahupun luar talian.
“Pindaan ini bertujuan meningkatkan perlindungan terhadap kesan emosi dan psikologi mangsa serta menangani penyalahgunaan platform digital.
“Selain itu, peningkatan ancaman dalam talian termasuk penyebaran bahan penyalahgunaan seksual kanak-kanak (CSAM), penipuan kewangan dan kandungan berbahaya yang lain semakin menunjukkan betapa pentingnya peraturan yang berkesan.
“Sehubungan itu, dalam usaha meningkatkan keselamatan dalam talian dan akauntabiliti, kerajaan kini memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 bagi mempromosikan platform digital yang lebih selamat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan turut bersetuju kerajaan menggubal undang-undang kebebasan maklumat (FOI) peringkat persekutuan yang mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang inklusif.
“Pada tahun ini, kerajaan telah mengadakan tujuh sesi libat urus yang komprehensif di seluruh negara melibatkan lebih 1,500 peserta termasuk wakil daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, masyarakat sivil, persatuan undang-undang, ahli akademik, pakar antarabangsa dari Australia, Kanada, Afrika Selatan dan Indonesia.
“Sesi-sesi ini memberikan pandangan yang berharga mengenai amalan terbaik global bagi undang-undang FOI. Usaha kerjasama ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memupuk tadbir urus yang telus, inklusif dan bertanggungjawab.
“Insya Allah, undang-undang ini dijangka akan dibentangkan di Parlimen menjelang pertengahan tahun 2025 bertujuan untuk memperkukuhkan demokrasi, meningkatkan akses kepada maklumat, memperkasakan rakyat dan membina kepercayaan terhadap kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette