Pemilik bengkel parah di leher dan dada akibat ditikam pelanggannya dalam kejadian di bengkelnya di Subang, Selangor semalam. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai menikam seorang lelaki hingga parah di leher dan dada di bengkel miliknya di Subang, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, semakan mendapati kejadian berlaku pada jam 5.20 petang melibatkan mangsa berusia 54 tahun.

“Ketika kejadian, suspek merupakan lelaki tempatan berumur 40 tahun datang ke kedai mangsa untuk membaiki kenderaan kerana mempunyai masalah sistem ‘break’ kereta.

“Setelah kerosakan dibaiki, suspek telah membuat pembayaran dan beredar dari bengkel, namun dua jam kemudian suspek datang semula ke bengkel dan berlaku pertengkaran.

“Kemudian suspek bertindak menyerang mangsa dengan senjata tajam dan melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Perodua Alza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, akibat kejadian itu mangsa mengalami pendarahan dan berjalan sejauh 200 meter ke sebuah klinik swasta sebelum pengsan di bahagian pejalan kaki klinik tersebut.

“Mangsa telah diberi rawatan awal di klinik itu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast