Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 16 Januari tahun depan bagi memutuskan permohonan pihak pendakwaan agar semua tujuh pertuduhan yang dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin digabung dan dibicarakan secara bersama.

Bekas Perdana Menteri itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang RM200 juta.

Hakim Azura Alwi turut membenarkan permohonan Muhyiddin agar pasportnya dikembalikan bagi membolehkannya ke United Kingdom untuk mendapatkan nasihat perubatan berhubung penyakit kanser pankreas yang kini dalam peringkat pemulihan selain menziarahi cucunya di sana.

Mahkamah memerintahkan pasport itu dikembalikan hari ini dan dipulangkan pada 14 Januari depan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat berhujah agar kesemua tujuh pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin dibicarakan bersama atas alasan kes itu melibatkan transaksi yang sama.

“Pertuduhan itu melibatkan saksi-saksi utama dan dokumen yang sama, maka penggabungan itu wajar untuk keadilan dan menjimatkan masa dan kos semua pihak,” ujar beliau.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh pihak pembelaan atas alasan penggabungan pertuduhan dan perbicaraan bersama akan memprejudiskan anak guamnya yang boleh menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan terhadap beliau.

Peguam, Amer Hamzah Arshad berhujah, pihak pendakwaan gagal menunjukkan kaitan di antara pertuduhan menyalahguna kedudukan dengan kes AMLA yang dihadapi oleh Muhyiddin.

Hujah beliau, pendakwaan juga gagal menunjukkan siapa saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan yang menjadi asas kepada penggabungan pertuduhan.

Amer Hamzah turut mempertikai sama ada pertuduhan yang dikenakan itu adalah terhadap Bersatu atau Muhyiddin.

Jika pertuduhan terhadap Bersatu, anak guamnya dikhuatiri berada dalam posisi yang tidak dapat dipertahankan kerana perlu menjawab pertuduhan walhal beliau bukan pihak yang sesuai untuk berbuat demikian.

Muhyiddin kekal dibicarakan atas tujuh pertuduhan selepas Mahkamah Rayuan pada 11 September lalu menolak permohonannya untuk menyemak keputusan satu panel lain pada 28 Februari lalu yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemuanya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi pihak Bersatu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM195 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 13 Mac 2023 atas satu pertuduhan AMLA berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here