KUALA LUMPUR – PKR Perlis tidak menyediakan karpet merah namun menerima sesiapa sahaja yang sudi berjuang bersamanya.
Pengerusi PKR Perlis, Noor Amin Ahmad berkata demikian mengulas kemasukan bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin ke dalam parti itu.
“Hasrat beliau (Zahidi) ini bukan baru. Ia telah dinyatakan tidak begitu lama selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Saya dimaklum bahawa Zahidi telah memohon menjadi anggota PKR dan diluluskan pada pertengahan Mei 2024. Maklum balas sebahagian anggota PKR, rakan PH dan rakan perpaduan BN telah disampaikan kepada wakil pimpinan Pusat,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi prinsipnya, menurut Noor Amin, PKR adalah parti untuk semua.
“Sesiapa pun dialukan menyertai parti mengikut proses permohonan yang ada. Yang lebih penting tentunya menghayati perjuangan parti.
“PKR tidak pernah dikenali sebagai parti kaya. Ia dibina oleh semua anggota dengan segala susah payah dan kesetiaan yang tentunya menuntut banyak pengorbanan,” katanya.
Dalam situasi semasa di mana Presiden PKR kini menjadi Perdana Menteri, tidaklah menghairankan jika sokongan parti bertambah dan ada nama-nama yang dikenali ramai mahu Bersama, katanya.
“Kita mengalukan sesiapa sahaja yang sanggup mengharung perjuangan ini dalam susah dan senang. Ini adalah masa yang genting untuk kerajaan menunjukkan prestasi perkhidmatan terbaik dan PKR mesti menjadi tunjang utama sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: