KUANTAN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang telah membangunkan Pusat Pemindahan Sementara Ternakan (PPST) bagi menempatkan haiwan ternakan seperti lembu ketika musim banjir.
Pengarah Veterinar Pahang, Datuk Dr. Kamaliah Ghazali berkata, PPST pertama dibina di Pahang itu terletak di kawasan berkeluasan 4 hektar di Kampung Padang Rumbia, Pekan dengan kos pembinaan sebanyak RM559,731.
“Alhamdulillah, tahun ini kita dapat siapkan PPST di Rumbia untuk ternakan. Kita harap kita boleh pindahkan (haiwan ternakan) yang di tepi-tepi jalan tu ke tempat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kumpulan haiwan ternakan yang terpaksa ditempatkan di kawasan lebih tinggi iaitu di bahu jalan di sekitar daerah Pekan berikutan kandang yang terjejas banjir sebelum ini.
Menurut Kamaliah, penternak yang sudah berdaftar dengan jabatan itu boleh menempatkan sementara haiwan ternakan mereka di PPST tersebut bagi tempoh antara dua minggu hingga sebulan, bergantung kepada situasi banjir semasa.
“Setakat ini belum ada haiwan ternakan ditempatkan di situ kerana air belum naik.
“Sebelum ini, haiwan ternakan di kawasan yang terjejas banjir juga ditempatkan sementara di ladang-ladang milik kerajaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Veterinar Pahang akan mengkaji keperluan dan mencari kawasan bersesuaian untuk membangunkan PPST di daerah lain.
Beliau turut menasihati para penternak agar sentiasa peka dan tidak menunggu paras air meningkat bagi memindahkan haiwan ternakan mereka.
“Sekarang bulan Disember memang kita tahu musim hujan, jadi tak perlu nak tunggu sampai laluan dah terkepung dinaiki air, baru nak pindahkan haiwan ternakan.
“Kita sedia maklum kebanyakan penternak ada kawasan sendiri untuk letakkan haiwan masing-masing apabila berlaku banjir, namun ada ketikanya mereka tak sempat nak pindahkan kerana air melimpah dan laluan terputus,” jelasnya.
Beliau berkata, sehingga hari ini, terdapat empat orang penternak di Raub dan seorang di Bera menghadapi kerugian kerana kawasan dan haiwan ternakan mereka terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Berdasarkan data Veterinar Pahang, terdapat seramai 7,348 individu berdaftar sebagai penternak haiwan ternakan seperti lembu pedaging (4,435), lembu tenusu (29), kerbau (776), kambing (1,604), kambing tenusu (6) dan bebiri (1,324) – MalaysiaGazette