SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor daripada pertuduhan menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah politik, Julai tahun lalu.
Pemimpin Pas itu bagaimanapun masih berdepan satu lagi pertuduhan menghasut berkaitan Yang Dipertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan Muhammad Sanusi dibicarakan bermula 24 hingga 28 Februari tahun depan.
Mahkamah memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd. Daud memaklumkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dikemukakan Sanusi, 50.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi mengemukakan representasi kedua selepas permohonan pertama dikemukakan ahli politik Pas itu ditolak oleh AGC pada Mei.
Semasa prosiding, Masri memaklumkan terdapat perkembangan baharu berhubung permohonan yang dikemukakan tertuduh dan pihaknya tidak berhasrat meneruskan pendakwaan bagi kes pertama.
“Saya mohon tertuduh diberi perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kes pertama sementara pertuduhan kedua, dikekalkan,” katanya yang kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.
Bagaimanapun, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili pemimpin Kerajaan Kedah itu membantah permohonan DNAA yang dibuat pihak pendakwaan.
Beliau berkata, mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah (CPC), mahkamah mempunyai kuasa untuk memberi perintah DNA sepenuhnya terhadap mana-mana tertuduh.
“Sesuatu perkara tidak boleh tergantung di atas seseorang, tanpa satu penyelesaian yang muktamad. Saya memohon anak guam dibebaskan oleh kerana pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes,” katanya.
Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lalu untuk dibicarakan.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan itu di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai 2023.
Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, peguam pemerhati, Datuk Seri Salehuddin Saidin turut hadir pada prosiding bagi pihak Sultan Selangor.
Pada 26 September lalu, menerusi surat titah yang dimuatnaik Selangor Royal Office, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Sanusi.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menerima permohonan ampun dan maaf, atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu. – MalaysiaGazette