PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan siasatan jenayah ke atas dirinya berhubung isu Pulau Batu Puteh bertujuan untuk menjadikan beliau sebagai banduan.
Beliau berkata, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan diragui dan pendakwaan ke atas dirinya dilihat sebagai terpilih tanpa membabitkan Jemaah Menteri Kabinet.
“Ada seseorang di sebalik RCI yang mempunyai minat khusus dalam kes saya, seperti yang awak tahu, saya sekarang di sebelah pembangkang dan mereka cuba untuk neutralkan saya dalam soal politik.
“Sekarang saya adalah sepatutnya menjadi penjenayah, banduan, bukan banduan terhormat, orang itu jadi banduan terhormat yang masuk jail (penjara) lima tahun.
“Saya pun nak dijadikan banduan,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan RCI itu mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir, mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
Tindakan berkenaan antara syor RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, pendakwaan terpilih seperti mana yang ditunjukkan dalam RCI itu didakwa digunakan pemerintah untuk menindas rakyat.
“Kita tahu kes seperti Tun Daim Zainuddin, sampai orang itu mati, dia sakit, kononnya bila dia tak pergi ke mahkamah, pasal dia sakit, dia cuba tuduh dia sebagai gila, untuk diperiksa hospital orang gila.
“Perkara ini berlarutan di negara ini, saya fikir cara ini tidak sihat di mana undang-undang digunakan untuk menindas rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Apa salahnya..mmg patut pun ko jd banduan..skrg ni bukan main lg yer..kenapa saya sorang jaa? bukan seluruh kabinet…yg ko penjarakan Najib tu kenapa Najib sorang2 jaaa? hebat Najib..boleh buat kerja sorang2…