PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak pernah membuat keputusan sendiri jauh sekali secara tersembunyi.
Ia ekoran susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura pada 2018.
Dr Mahathir berkata, keputusan menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) dibuat secara bersama Jemaah Menteri dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendapati saya buat keputusan dan menipu Kabinet.
“Saya tidak setuju. Saya juga tidak buat keputusan secara sembunyi-sembunyi.
“Saya tidak buat keputusan. Saya hanya beri pendapat. Lihat surat saya yang bertarikh 21.5.2018 pada muka surat 99 Laporan RCI,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.
Tindakan berkenaan antara syor RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
RCI itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
Menurut Dr Mahathir, tidak wajar sekiranya beliau sahaja yang didakwa sedangkan keputusan menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ dibuat secara bersama Jemaah Menteri dalam Kerajaan PH.
“Ahli Jemaah Menteri ketika itu antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
“Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rina Mohd Harun; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin; Menteri Pengangkutan, Anthony Lok; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Tenaga Manusia, M.Kulasegaran; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzukefly Ahmad.
“Semua individu ini berada dalam mesyuarat Kabinet. Kalau mereka ada sebarang aduan atau bantahan terhadap keputusan yang diambil, tiada seorang pun berkata apa-apa (bantah).
“Kita kena andaikan bahawa semua menteri ini bersetuju, mereka juga kena panggil saksi (buktikan mereka tidak bantah keputusan),” katanya.
Dr Mahathir turut berkata, penubuhan RCI itu semata-mata untuk menuduhnya melakukan kesalahan dalam membuat keputusan itu tanpa mendapat nasihat daripada Kabinet.
“Itu tidak benar, kita dapatkan nasihat Kabinet dan pakar, kemudian baru kita buat keputusan.
“Mereka (RCI) cuba mengatakan bahawa walaupun saya maklumkan kepada Kabinet, mereka mengatakan ia tidak sah, saya pun tak tahu apa yang tidak sah sedangkan mereka berada di sana (mesyuarat Kabinet).
“Mereka ini tidak menyemak semula cadangan saya sebaliknya mereka tidak berbuat demikian, keputusannya dibuat oleh Kabinet, bukan saya bersendirian,” katanya.
Katanya lagi, sudah tentu RCI tidak boleh mendakwa kesemua Jemaah Menteri dalam kerajaan hari ini dan disebabkan itu lebih mudah untuk mendakwa beliau sahaja.
“Mereka nak dakwa saya di bawah undang-undang jenayah, apa yang saya dapat, saya tak lakukan apa-apa, ia adalah kepentingan negara untuk saya buat keputusan.
“Saya tahu Pulau Batu Puteh sangat berharga kepada kita dan kita boleh membangunkannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette