KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan buku bertajuk ‘PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara di sini hari ini.
Buku yang julung kali mengangkat sejarah dan pencapaian Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak awal penubuhannya itu merupakan hasil karya penulisan oleh Profesor Dr. Mohamad Thariq Hameed Sultan dan Shafie Abdul Rahman.
Ia juga meraikan perjalanan PDRM lebih dua abad sebagai penjaga keamanan negara.
Pada majlis itu juga, Sultan Nazrin juga berkenan menyampaikan Anugerah Khas Buku Negara kepada tujuh penerima yang turut melibatkan pegawai dan anggota polis.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, inisiatif penghasilan buku itu diterbitkan dengan adunan kompilasi bergambar disertakan huraian ringkas pelbagai maklumat mengenai PDRM.
“Inisiatif penghasilan buku ini akan menjadi sumber rujukan menyebarkan informasi berguna serta menginspirasi masyarakat untuk lebih peka dan meningkatkan semangat patriotisme cintakan tanah air.
“Melihat kepada kematangan pasukan itu, ia didukung oleh semangat taat dan setianya kepada Raja dan Negara yang menjadi pegangan utuh dalam jiwa setiap pegawai dan anggota Sang Saka Biru.
“Semangat kesetiaan inilah yang menjadi tonggak PDRM kekal ampuh sebagai agensi penguat kuasa tertua dan terulung negara serta sentiasa bersedia memikul amanah dan tanggungjawab menjadi benteng pertahanan menghadapi sebarang ancaman keselamatan yang mendatang,” jelasnya.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan barisan kepimpinan tertinggi PDRM.
Sementara itu, penulis buku terbabit, Mohamad Thariq berkata, cabaran dalam menghasilkan buku tersebut lebih kepada mendapatkan fakta yang betul namun pihaknya mendapat kerjasama dan sokongan daripada PDRM.
Katanya, proses menghasilkan buku tersebut mengambil masa selama setahun sebelum dilancarkan untuk dijadikan bahan bacaan utama kepada masyarakat.
“Buku ini percuma dan akan diterbitkan sebanyak 30,000 hingga 40,000 naskah untuk diagihkan ke sekolah dan universiti bermula hujung tahun ini dan akan berakhir pada 31 Ogos 2025,” ujarnya. – MalaysiaGazette