GEORGE TOWN – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang berjaya menangkap seekor ular sawa albino sepanjang 4.3 meter yang ‘tersesat’ berhampiran lampu isyarat di Jalan Macalister di sini, hari ini.
Pegawai APM Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan daripada penyelia kontrak bangunan berhampiran pada jam 8 pagi sebelum tiga anggota Shif Alpha bergegas ke lokasi.
“Kita menghadapi kesukaran kerana ular itu cuba lari dengan memasuki lubang, namun berjaya dibawa keluar dengan selamat.
“Ular itu berjaya ditangkap jam 8.40 pagi dengan dibantu oleh pekerja kontrak di kawasan berhampiran,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Muhammad Aizat, ular jenis ‘reticulated python albino’ sepanjang kira-kira 14 kaki (4.3 m) itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. – MalaysiaGazette