KUALA LUMPUR – Alat bantuan pernafasan (ventilator) mudah alih (VS1) keluaran Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) diyakini boleh menembusi pasaran dalam dan luar negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ventilator mudah alih yang dikeluarkan oleh syarikat teknologi kejuruteraan biomedikal, fasiliti dan pembuatan peralatan perubatan itu mempunyai kelebihan.
“Saya yakin sesuai dengan suasana pandemik, ia mempunyai kelebihan kerana ia mudah alih dan kukuh serta boleh dimanfaatkan, produk macam ini akan dapat pasaran dan minat,” kata Dr. Dzulkefly.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan VS1 dan merasmikan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi APSB, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil.
Peranti VS1 dibangunkan sejak April 2020 dengan kerjasama Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh.
VS1 yang sudah berjaya melepasi peringkat ujian klinikal dan terbukti selamat untuk digunakan dalam rawatan pesakit.
Selain VS1, turut dilancarkan adalah produk peranti perubatan yang dihasilkan oleh syarikat Adventa Sdn. Bhd.
Dr. Dzulkefly berkata, banyak syarikat pengeluar peranti perubatan tempatan yang menempa nama di luar negara berikutan kualiti peralatan yang dihasilkan.
“Sebab itu kita mahu negara kita menghormati dan meraikan juara tempatan, kerana mereka boleh diterima di luar negara.
“Tetapi kita sebagai negara yang menjadi tempat peralatan mereka ‘dilahirkan’ tidak diberikan perhatian yang sewajarnya dalam penjagaan kesihatan,” kata Dr. Dzulkefly.
Malaysia mempunyai 200 syarikat tempatan dan 30 syarikat multinasional (MNC) pembuat peranti perubatan.
Sektor itu menyumbang pertumbuhan ekonomi dan kemajuan penjagaan kesihatan bernilai kira-kira RM18 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2023 dan mencipta 95,000 peluang pekerjaan sejak tahun 2012. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
VS1 keluaran tempatan bakal dipasarkan suku pertama tahun depan
Menteri Kesihatan tinjau pameran VS1 keluaran Advance Pact