KUALA LUMPUR – Syarikat Perunding perkhidmatan dan penjagaan kesihatan, Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) menjangkakan produk peranti perubatan pertama keluarannya iaitu alat bantuan pernafasan (ventilator) atau VS1 berada di pasaran pada suku pertama tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berkata, VS1 kini hanya menunggu kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) selepas empat tahun dibangunkan sejak 2020.
Menurut beliau, produk tempatan itu sebelum ini berjaya melepasi ujian klinikal di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sg Buloh.
”Kita mula membina VS1 ini empat tahun lepas dan hari ini adalah yang ditunggu-tunggu kerana inilah kejayaan yang kita capai dengan kerjasama semua pekerja dan yang terlibat.

”Kita berjaya mengetengahkan VS1 di IMDEC 2024 iaitu platform yang paling tepat kerana ia berkaitan dengan peranti perubatan di negara ini.
”VS1 ini sudah selesaikan laksanakan ujian klinikal di Hospital UiTM, Sg Buloh dan menunggu kelulusan daripada MDA sebelum boleh kita mula pasarkan yang kita jangka pada suku pertama 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette sempena Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, VS1 turut melakar sejarah apabila produk peranti perubatan itu dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mengulas lanjut, Siti Ainol Khabtiah berkata, VS1 adalah setanding dengan alat bantuan pernafasan mudah alih di pasaran yang boleh ditempatkan di wad dan unit rawatan rapi (ICU) selain dalam ambulans dan penggunaan di rumah.
Menurut beliau, APSB juga mahu mengetengahkan produk perantian perubatan Malaysia pertama kerana daripada segi spefikasi, ia sama dan tidak ketinggalan sekiranya dibandingkan dengan alat bantuan pernafasan dalam julat sama.
”Buat permulaan ini, kami mengharap akan mendapat sokongan baik Kementerian Kesihatan kerana terdapat lebih 120 hospital kerajaan di Malaysia dan kalau kita dapat memasukinya sudah cukup untuk kita memasarkan produk ini dan ini adalah kerana pasaran tempatan adalah keutamaan syarikat.
“Penyertaaan APSB dalam IMDEC 2024 dianggap sebagai berbeza berbanding pameran lain kerana kami juga membawa produk VS2 Pro yang merupakan versi kedua alat bantuan penafasan yang telah dimasukkan elemen teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tanpa wayar (wireless).
”VS2 masih lagi dalam pembangunan dengan kerjasama MIMOS dari segi perisian AI dan teknologi tanpa wayar. Kita jangka pengeluarran prototaipnya akan siap pada separuh tahun pertama tahun depan,” katanya.
Siti Ainol Khabtiah turut berkongsi pengalaman syarikat menghasilkan VS1 kerana Malaysia bukan pengeluar produk peranti perubatan aktif (Active Medical Device) sebelum ini.
Katanya, selepas melalui empat tahun proses ini, ia bukanlah tugas mudah kerana melibatkan kos yang tinggi dan penglibatan pelbagai agensi kerajaan.
”Saya rasa yang mengekang kebanyakan usahawan kecil dan sederhana (SME) dalam pengeluaran peranti perubatan adalah kos itu sendiri selain teknologi yang sering berubah.
”Sebab itu kita buat kerjasama juga Cambrigde University melalui penempatan PhD Researcher dan juga dengan Eastwood Park Training, UK, kerana ia adalah sebahagian daripada ekosistem untuk membangunkan peranti perubatan,” katanya. – MalaysiaGazette