JOHOR BAHRU – Wang pencen arwah suami RM300,000 tidak sempat dibahagikan selepas seorang suri rumah terpedaya dengan sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 49 tahun memberitahu, sindiket berkenaan mendakwa dia telah terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan dadah.

“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini semalam berhubung kejadian tersebut.

“Mangsa mendakwa kejadian bermula pada 15 November lalu apabila dihubungi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai berpangkat Datuk dari cawangan risikan polis Bukit Aman.

“Suspek memaklumkan mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

“Suspek turut memaklumkan bahawa kad pengenalan mangsa berada dalam simpanan salah seorang lelaki yang ditangkap pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, mangsa turut diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kerana ada waran tangkap dikeluarkan atas nama mangsa.

Katanya, suspek memberi pilihan jika mangsa ingin memudahkan urusan tersebut serta mahu membersihkan nama daripada sebarang kes dengan mengarahkannya membuat bayaran.

“Percaya dengan kata-kata suspek, pada 21 November hingga 26 November lalu mangsa melakukan enam kali transaksi pindahan ke satu akaun bank yang diberikan suspek dengan keseluruhan berjumlah RM300,000,” ujarnya.

Dalam tempoh tersebut juga katanya, mangsa diarahkan melaporkan setiap pergerakan dan lokasi mangsa kepada suspek.

Mangsa turut diarahkan untuk melupuskan semua slip transaksi pindahan wang dan memadam rekod perbualan dengan suspek, katanya.

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila melihat video berkaitan sindiket penipuan yang dikongsikan salah seorang anak mangsa, dan tampil membuat laporan polis,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 420 kanun keseksaan kerana tipu.

Siasatan juga dibuat dibawah Seksyen 424 kanun keseksaan meliputi ‘keldai akaun’ iaitu kesalahan berkaitan instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here