KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar semua pihak bersatu dalam menangani cabaran di Syria dengan menyokong peralihan yang aman tanpa perpecahan bersifat sektarian.
Katanya, pemulihan Syria memerlukan perpaduan dan komitmen bersama untuk kedamaian.
Beliau menekankan pentingnya memupuk dunia multipolar yang mengutamakan keadilan dan kesaksamaan serta menggesa pemimpin menukarkan dialog kepada tindakan yang nyata.
“Perhimpunan ini adalah seruan untuk bertindak. Ia merupakan peluang untuk memperdalamkan kerjasama dan mengukuhkan komitmen bersama terhadap kedamaian dan keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Visi Strategik: Rusia-Dunia Islam di sebuah hotel di ibu negara di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
Menurut Perdana Menteri lagi, Malaysia sentiasa memantau perkembangan di Syria setiap hari.
“Kami menyeru peralihan aman yang menghormati pelbagai komuniti. Perpecahan sektarian mesti ditolak dan perpaduan harus diterima sebagai prinsip utama dalam membina semula negara.
“Kami mempunyai tanggungjawab untuk menyokong Syria yang bebas dan bersatu,” tambahnya.
Militan pembangkang Syria yang dipimpin oleh kumpulan pemberontak Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menggulingkan Presiden Bashar al-Assad dalam satu pengambilalihan yang sangat cepat selepas 13 tahun berlakunya perang saudara.
Assad dan keluarganya kini melarikan diri ke Rusia. – MalaysiaGazette