KUANTAN – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang berjaya mengumpul lebih dua tan sumbangan barangan keperluan dalam tempoh 10 hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, sumbangan itu juga akan diagihkan kepada petugas bencana termasuk anggota APM di lapangan dan mangsa banjir di negeri jiran.
“Sebahagian sumbangan yang diterima telah diagihkan kepada mangsa banjir di Pahang terutama di Raub dan Lipis.
“Sumbangan terdiri barangan keperluan harian, makanan, keperluan penjagaan diri, lampin pakai buang, tuala wanita dan permainan kanak-kanak.
Menurutnya, semua sumbangan dikumpulkan di pusat pengumpulan utama di Ibu Pejabat APM Pahang di Jalan Beserah sebelum proses pengasingan dilakukan.
Tambah Che Adam pihak APM Pahang masih membuka peluang kepada semua pihak yang berhasrat untuk menyumbang barangan keperluan yang sesuai melalui pejabat APM.
Kata beliau, APM juga menerima keperluan makanan dan minuman segera petugas.
“Sumbangan setakat ini diterima daripada pelbagai pihak termasuk individu, korporat, badan bukan kerajaan (NGO), badan berkanun dan sebagainya. – MalaysiaGazette