Keadaan rumah milik salah seorang mangsa banjir, Mohd Hasbullah Che Harun yang musnah akibat dilanda banjir ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Baru Nelayan, Tumpat. Foto SADIQ SANI, 05 DISEMBER 2024

KOTA BHARU – Gelombang kedua banjir yang melanda Kelantan sejak Isnin lepas pulih sepenuhnya setelah pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di jajahan Gua Musang menamatkan operasinya petang tadi.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Gua Musang Bun Tham a/l Eh Gin berkata, PPS Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1 yang menempatkan 41 orang ditutup sekitar 5 petang tadi.

“Alhamdulillah, kesemua mangsa yang terjejas telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sekitar pukul 5 petang tadi susulan banjir di penempatan mereka sudah surut, selain pihak penguat kuasa juga berpuas hati untuk membenarkan mereka pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras bahaya dengan bacaan 9.16 meter (m), manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai melepasi paras amaran iaitu 24.09 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang melibatkan tujuh negeri bermula 8 Dis lepas sehingga hari ini termasuk Kelantan, Terengganu dan Perlis. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast