Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan mempersoalkan adakah Bank Negara Malaysia (BNM) tidak tidak menyedari tindakan syarikat-syarikat insurans menaikkan premium atau sebenarnya sudah memberikan kebenaran kepada mereka untuk berbuat demikian.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, jika sebuah kedai runcit yang menaikkan harga minyak masak 1 kilogram, walaupun hanya beberapa sen hingga beberapa ringgit, tetap tindakan diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) melalui undang-undang.

Apatah lagi, premium insurans yang melibatkan jumlah dari puluhan hingga ribuan ringgit sudah diberitahu kepada pelanggan melalui surat pemberitahuan.

Dominic menegaskan, kebanyakan syarikat insurans adalah syarikat antarabangsa, yang merupakan entiti korporat, dan mereka memahami bahawa insurans tertakluk kepada undang-undang.

Mereka juga tahu sebarang kenaikan premium insurans mesti diberitahu kepada BNM.

Tambahnya, walaupun untuk memperoleh keuntungan yang lebih tinggi, mereka tidak mungkin sengaja melanggar peraturan.

“Adakah BNM tidak menyedari perkara ini? Tidak bercadang untuk meminta syarikat insurans memberikan penjelasan?

“Saya benar-benar tertanya-tanya, adakah BNM lambat sedar atau sebenarnya sudah memberikan kebenaran kepada syarikat insurans untuk berbuat demikian?

“Jika bukan kerana aduan daripada pelanggan, ahli Parlimen, NGO, dan pemimpin parti melalui Parlimen dan media, kita tidak melihat sebarang tindakan daripada BNM,” dakwa beliau.

Beliau berpendapat jika syarikat insurans menaikkan premium tanpa mendapatkan kelulusan BNM terlebih dahulu, tindakan “langgar dahulu, minta maaf kemudian” ini bukan sahaja menunjukkan kelemahan dan kegagalan pengawasan bank pusat itu tetapi  membuktikan syarikat insurans langsung tidak memandang serius terhadap BNM, seolah-olah hanya dianggap sebagai ‘barang mainan’.

Dominic  berkata, BNM bukanlah seperti sloth dalam filem Disney Zootopia, yang bergerak perlahan dengan kelajuan hanya 2 meter seminit di daratan.

BNM sepatutnya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai badan pengawal selia dengan baik apabila isu kenaikan kos perubatan membangkitkan kemarahan rakyat.

“Jika penjelasan BNM adalah benar, mengapa tindakan segera tidak diambil apabila pelanggan membuat aduan tentang menerima surat pemberitahuan kenaikan premium daripada syarikat insurans?

“Nampaknya BNM bukan sahaja bertukar daripada badan pengawal selia kepada entiti lemah, tetapi juga menjadi ‘alat tambahan’ kepada syarikat insurans,” dakwa beliau lagi.

Lantaran itu beliau berkata, selain membuat keputusan segera mengenai isu premium, BNM harus menyemak semula terma tidak adil dalam polisi insurans yang memberikan hak kepada syarikat insurans untuk menaikkan premium.

Pada masa yang sama, beliau menyeru BNM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan KPDN untuk menyiasat mengapa kos perubatan meningkat tiga hingga empat kali ganda apabila menggunakan insurans.

Memandangkan masalahnya telah dikenal pasti, beliau menggesa BNM untuk memberikan perhatian dan segera menangani masalah ini.

“Berbaki hanya dua hingga tiga minggu sebelum memasuki tahun 2025, sekurang-kurangnya tetapkan keputusan awal supaya pelanggan boleh terus membayar premium lama untuk memperbaharui insurans mereka,” kata Dominic.

Semalam, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, BNM berjanji mencari penyelesaian interim dalam isu kenaikan kadar premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat selama sejam kepada beberapa Ahli Parlimen mengenai isu berkaitan kenaikan kadar premium insurans itu di Dewan Rakyat hari ini.

Taklimat bermula jam 9 pagi itu dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan turut dihadiri Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour bertujuan menjelaskan kepada ahli Parlimen yang hadir mengenai alasan di sebalik kenaikan premium insurans perubatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here