Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio Ekonomi), Ismadi Sakirin

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil alih 44 lokasi bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi tahun 2025 yang menawarkan 3,707 tapak perniagaan.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio Ekonomi), Ismadi Sakirin berkata, langkah ini bertujuan untuk meneruskan penganjuran Program Bazar setelah pihak penganjur sebelumnya menarik diri.

“Program ini mampu membantu peniaga-peniaga kecil untuk menjana pendapatan masing-masing terutamanya ketika musim perayaan.

“44 lokasi yang diurus termasuklah Lorong TAR (Masjid India) dan Jalan TAR (Jalan Chow Kit) dijadikan sebagai bazar Aidilfitri.

“42 lagi merupakan bazar-bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur yang menjual juadah-juadah berbuka puasa,” katanya dalam Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Bank Muamalat di Biro Pelancongan Kuala Lumpur hari ini.

Ismadi memberitahu, penganjurannya selari dengan Sambutan Hari Sifar Sisa Antarabangsa yang bakal disambut pada 30 Mac setiap tahun.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dilakukan bagi mendidik penjaja dan pengunjung bazar khususnya ke arah amalan ini.

“Antara kempen yang dilaksanakan adalah larangan penggunaan beg plastik sekali guna, kempen ‘Love Food, Hate Waste‘, kempen kitar semula minyak masak terpakai, dan kempen kesedaran pembaziran makanan serta makanan sihat, bersih, dan berkhasiat,” ujarnya.

Sesi mendatangani nota persefahaman oleh kedua-dua pihak, Bank Muamalat dan DBKL bertempat di Biro Pelancongan Kuala Lumpur, Jalan Tangsi

Beliau juga turut berterima kasih kepada Bank Muamalat Malaysia Berhad kerana sudi menjalinkan kerjasama strategik.

Kerjasama ini telah dimeterai melalui nota persefahaman yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak dalam sebuah majlis di Biro Pelancongan Kuala Lumpur.

Bank Muamalat dalam satu kenyataan berkata, kerjasama ini akan menekankan inisiatif ‘Go Cashless’ yang membolehkan pengunjung bazar melakukan transaksi tanpa tunai menggunakan QR Pay.

“Langkah ini menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan masyarakat dan menyokong transformasi ekonomi bandar.

“Bagi membantu para peniaga, pihak bank juga akan menyediakan khemah percuma bersaiz 8×8 untuk mereka yang mendaftar dan menyertai bazar,” katanya.

Tambahnya, kaunter khas akan dibuka di lima lokasi utama iaitu Lorong TAR, Wangsa Maju, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kampung Baru, dan Taman Tasik Permaisuri untuk akses mudah bagi peniaga dan pengunjung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast