KUALA LUMPUR – Pemain bola sepak Selangor, Faisal Halim menerima Darjah Kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-79 Sultan Selangor hari ini.
Faisal antara 17 penerima AIS pada istiadat yang telah berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
“Merafak sembah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, diatas pengurniaan anugerah ini.
“Patik dengan rendah diri merasa penuh syukur dan terharu menerima penghargaan ini. Saat ini akan patik kenang selamanya dan pastinya akan menjadi satu motivasi baru untuk patik terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik buat semua. Daulat Tuanku,” kata Faisal di laman sosial miliknya.
Untuk rekod, pemain kelahiran Pulau Pinang itu adalah antara tonggak utama skuad Red Giants sejak 2023, dengan dia sudah meledak 12 gol dalam 31 penampilan.
Aksi menakjubkan itu menyaksikan dia membantu Selangor FC mara ke final Piala Malaysia musim lalu namun dikecewakan di tangan Johor Darul Ta’ZIM (JDT) di pentas akhir itu.
Sumbangan Faisal bersama skuad Harimau Malaya juga cukup besar dan pencapaian paling cemerlang membantu skuad negara beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar Januari lalu, termasuk menjaringkan gol tercantik kejohanan ketika mengikat Korea Selatan 3-3.
Pada 5 Mei lalu, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.
Kecederaan yang dialami oleh tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.
Faisal kemudian tampil buat kali pertama pada 13 Jun di hadapan umum dalam sidang akhbar. – MalaysiaGazette