KOTA KINABALU – Seorang graduan orang kurang upaya (OKU), membuktikan bahawa pendidikan adalah milik semua tanpa mengira kekurangan apabila berjaya
menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Majlis Konvokesyen kali ke-26 yang berlangsung meriah.
Man Chun Tang, 23, merupakan anak tunggal yang mengalami gangguan kecelaruan tumpuan dan kelasakan (ADHD) membuktikan semangat tinggi
dan keazaman kental mampu menepis segala cabaran.
Penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sejarah) itu berkata, kelebihan dan kelemahan berbeza yang dimiliki oleh setiap individu bukan penghalang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain walaupun kita berbeza dan ada kekurangan, kita masih boleh mendapat pendidikan yang sama seperti orang lain.
“Mungkin kamu memiliki aras pemikiran yang sangat tinggi, manakala saya memiliki aras pemikiran yang sangat rendah atau sebaliknya tapi kita mempunyai matlamat yang sama,” luahnya.
Menurutnya, UMS memberikan sokongan khas kepada pelajar-pelajar OKU, termasuk kemudahan yang mesra OKU, khidmat nasihat daripada Pusat Pengurusan OKU
(PPOKU).
“Kami disediakan kolej kediaman dan van pengangkutan bagi memudahkan pergerakan. Selain itu sebagai pelajar OKU, kami ada kemudahan seperti kubikal di perpustakaan yang memudahkan kami membuat tugasan.
“Manakala di fakulti pula pelajar OKU disediakan kemudahan seperti lif, parkir OKU, laluan ramp dan handrail banyak lagi bagi keselesaan pelajar-pelajar OKU,” tambahnya lagi.
Berkongsi lanjut, Man berkata, beliau akan melakukan kerja separuh masa untuk menambah pengalaman dalam dunia pekerjaan seperti membuat ulasan mengenai kereta-kereta import, terpakai mahupun kereta baharu.
Selain tu saya juga mahu cuba virtual assistant services seperti pod poster, banner ataupun menu-menu restoran,” tambahnya.
Beliau juga berhasrat untuk menjadi seorang guru dan ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette