Caption gambar: Ibrahim menyiram pusara anak sulungnya yang maut dalam kemalangan selepas disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Danga, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Hasrat anak sulung kepada bekas wartawan Harian Metro untuk menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di negeri ini tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut di Lebuhraya Kota Iskandar dekat sini semalam.

Bapa mangsa, Ibrahim Isa, 49, berkata, anaknya itu sedang menunggu tawaran kedua dan sementara menantikan panggilan daripada UiTM, dia melakukan dua kerja sambilan.

“Tawaran pertama melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan tidak berjaya sebelum ini dan ketika ini arwah anak saya sedang menunggu panggilan kedua untuk masuk UiTM.

“Selepas tamat persekolahan dia tidak berehat dan mahu bekerja bagi mendapatkan pengalaman.

“Anak juga bercadang untuk melanjutkan pelajaran selepas bekerja bagi tempoh tertentu namun hasratnya tidak kesampaian,” katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Danga di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, mangsa, Nur Adriana, 18, yang merupakan anak sulung daripada empat beradik maut semasa menunggang motosikal Yamaha Y15 ZR dalam kemalangan tersebut.

Sementara itu, ibu mangsa Nazaliza Jali, 48, berkata, dia sempat memeluk anaknya itu sebelum keluar bekerja.

“Ketika dia memeluk saya sebelum keluar bekerja, tiada sebarang perubahan pada dirinya namun saya berasa suatu yang berbeza dan mencium dia sepuasnya,” katanya.

Nazaliza berkata, dia tidak menjangka pertemuan dengan anaknya itu di kediaman keluarga di Jalan Padi Ria 7, Bandar Baru Uda di sini pagi semalam merupakan yang terakhir sebelum maut dalam kemalangan pada sebelah petangnya.

Menurutnya, Nur Adriana yang menunggang motosikal dipercayai maut di tempat kejadian ketika dalam perjalanan untuk bertemu dengan rakan bagi menghantar makanan.

Katanya, Nur Adriana yang tamat waktu kerja sambilan di Plaza Angsana Johor Bahru kebiasaannya akan ke tempat kerja tetap di sebuah restoran di Tampoi di sini.

“Anak saya memang seorang yang murah hati dan suka belanja ahli keluarga, dia juga rajin bekerja dan merupakan anak yang baik hati.

“Dia baharu saja bekerja sambilan untuk menambah pendapatan dan motosikal yang digunakan itu dibeli hasil pendapatannya pada dua bulan lalu.

“Dia menyayangi motosikal itu, kami terkilan apabila mendapat berita kemalangan menimpanya.

Nazaliza berkata, seorang pengguna jalan raya yang berada di tempat kejadian datang ke rumahnya memaklumkan kejadian itu sebelum didatangi anggota polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika mangsa hilang kawalan lalu bergesel dengan besi penghadang jalan sebelah kiri.

“Keadaan itu menyebabkannya terbabas sendiri. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here