KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengulangi pendirian untuk tidak membuat sebarang rayuan terhadap penggantungan keahlian dalam UMNO.
Bekas Menteri Pertahanan itu berkata sehingga kini tidak pasti mengapa keahlian beliau digantung.
“Buat apa saya nak merayu (dengan Presiden UMNO) sampai sekarang pun saya tidak tahu mengapa digantung,” katanya kepada MalaysiaGazette di Dewan Rakyat, hari ini.
Hishammuddin berkata demikian mengulas pertanyaan wartawan samada akan membuat rayuan berhubung pergantungan keahliannya.
Sebelum ini, penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditarik balik serta merta dalam satu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Setiusaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan tersebut dibuat selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO.
Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, Hishammuddin mengesahkan tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menggantung keahliannya selama enam tahun.
Pada 23 Februari lalu, beliau menjelaskan perkara tersebut selepas mendakwa ramai yang tertanya-tanya dan ternanti-nantikan pendiriannya sama ada membuat rayuan atau sebaliknya selepas digantung keahlian UMNO.
Hishammuddin tahun lalu digantung selama enam tahun.
Perkata itu disahkan menerusi satu surat Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bagaimanapun, tiada sebarang sebab penggantungan dinyatakan dalam surat berkenaan.
erdasarkan surat berkenaan, Hishammuddin didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
“Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023 telah memutuskan bahawa YB Dato’ Seri digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO kerana tindakan Datuk Seri melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
Penggantungan ini adalah selama tempoh enam tahun bermula daripada 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
MKT pada 27 Januari lalu memutuskan memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada UMNO kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette