Tular dalam TikTk berkenaan seorang pelanggan menyatakan rasa tidak puas hati menemukan ulat bergerak-gerak dalam hidangan sayur kailan semasa makan di sebuah restoran di Taman Scientex, Pasir Gudang

PASIR GUDANG – Tular seorang pelanggan mendakwa menemui ulat hidup dan masih bergerak dalam hidangan sayur kailan semasa makan di sebuah restoran makanan di Taman Scientex di sini.

Video berdurasi lebih kurang seminit 50 saat itu tular dalam aplikasi TikTok memaparkan pelanggan mempersoalkan tahap kebersihan premis tersebut.

Menurut pelanggan tersebut, dia ada menegur peniaga restoran terbabit namun memberi alasan itu perkara tersebut adalah ‘biasa’.

“Niaga asal boleh ja…itu ulat sampah. Ulat sayur lain…bila tegur nak menang ja tuan kedai…,” tulisnya yang tidak berpuas hati dengan jawapan peniaga restoran tersebut.

Dalam video tersebut, peniaga restoran berkenaan dilihat cuba mempertahankan diri.

“Kailan tu bukan abang seorang kena, kita sendiri pun pernah kena. Kadang-kadang bila basuh sayur, tak bersih sepenuhnya.

“Memang salah saya tetapi kami sudah buat yang terbaik. Kadang-kadang tetap ada ulat walaupun sudah dicuci. Kami cuba jaga kedai tetapi tidak semuanya sempurna,” respon peniaga terbabit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut@ Ahmad berkata, pihaknya memandang serius aduan yang tular mengenai isu tersebut.

Katanya, JKNJ menerusi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru telah menjalankan siasatan ke premis berkenaan pada 3 Disember lalu.

Jelas beliau, pihakanya mendapati premis itu gagal mematuhi keperluan kebersihan premis makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009), Akta Makanan 1983.

“Susulan itu, tiga Notis 32B di bawah PPKM 2009 telah dikeluarkan kepada wakil premis. Satu notis Arahan Kerja Pembersihan Premis Makanan di bawah Seksyen 10, Akta Makanan 1983 juga telah dikeluarkan bagi mengarahkan pihak premis mengambil tindakan pembetulan atas teguran yang dikeluarkan oleh PKD Johor Bahru.

“JKN Johor akan terus memantau dan akan sentiasa memastikan premis makanan mematuhi PPKM 2009, Akta Makanan 1983 bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Mohtar berkata, pihaknya juga menegaskan kepada semua pemilik dan pengendali premis makanan supaya sentiasa mengamalkan amalan kebersihan dan keselamatan makanan yang baik serta mematuhi keperluan ditetapkan bawah PPKM 2009 demi kesihatan dan kesejahteraan awam.

Katanya, orang ramai pula dinasihatkan untuk mengamalkan ‘perhati dan pilih’ premis makanan yang bersih dan mempunyai logo Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) dari KKM.

“Pengiktirafan BeSS ini diberikan kepada premis makanan yang telah mematuhi standard dan peraturan yang ditetapkan.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan yang berlaku, boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here