KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat sesi petang kecoh gara-gara tidak puas hati dengan perkataan ‘kurang ajar’ yang didakwa dilafazkan oleh Datuk Che Mohammad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).
Kekecohan ini bermula apabila ahli Parlimen kerajaan, RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mendakwa ahli Parlimen pembangkang tidak serius dalam persidangan kali ini apabila mereka mahukan sesi belah bahagian dalam sesi undian Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan dalam Talian (OSB) yang dibacakan buat kali kedua.
Tidak puas hati dengan kenyataan Rayer, beberapa ahli Parlimen pembangkang bingkas bangun antaranya Che Mohamad Zulkifly, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau).
Che Mohamad Zulkifly mengeluarkan perkataan ‘kurang ajar’ kepada Rayer dan Shahidan menyifatkannya Parlimen bukan milik ahli Parlimen DAP itu.
Pertikaman lidah itu menarik perhatian Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang kemudiannya meminta Rayer menarik balik perkataan tersebut.
“(Ahli Parlimen) Jelutong, semua ahli Parlimen mempunyai hak. Saya bukannya nak menyebelahi sesiapa tapi gunakanlah hak itu sebaiknya walaupun mereka minta (undi) belah bahagian, itu hak mereka,” katanya di ketika duduk di kerusi Speaker.
Akur dengan itu, Rayer kemudiannya menarik balik kata-kata kesat itu terhadap Che Mohammad Zulkifly.
Tidak tamat disitu, seorang lagi ahli Parlimen kerajaan Chong Zhemin (PH-Kampar) bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) dengan mendakwa Che Mohamad Zulkifly telah membuat sangkaan jahat kepada Rayer.
“Tadi saya dengar (Ahli Parlimen) Besut (sebut) perkataan ‘kurang ajar’. Saya minta Besut tarik balik kerana petua (ketetapan) telah dibuat. Besut, tarik balik,” katanya.
“Saya dengar (perkataan) kurang ajar, saya nak masukkan dalam hansard. Saya minta Besut tarik balik sebab Speaker (sebelum ini) sudah buat petua tidak boleh sebut perkataan kurang ajar dalam dewan,” ujarnya.
Namun, di sebalik kekecohan itu, Johari berkata, Speaker berkata, tidak mendengar kata-kata Che Mohammad Zulkifly dan memohon agar sesi diteruskan.
“Oleh (sebab) riuh rendah, hiruk-pikuk saya tak dengar tadi. Saya nak tanya Besut, adakah Besut ungkapkan perkataan itu. Ya atau tidak?,” soal Johari.
Che Mohamad Zulkifly bagiamanapun menafikan beliau mengungkapkan perkataan ‘kurang ajar’ itu.
Mendengar kenyataan itu, Johari berkata sekiranya beliau berbohong, ia adalah perbuatan yang berdosa.
“Kalau dia berbohong, dia masuk neraka. Don’t worry (Jangan risau). Kita jumpa di akhirat esok,” katanya lagi. – MalaysiaGazette