Zuraida Kamaruddin hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin hanya perlu membayar ganti rugi RM100,000 kepada parti itu kerana melanggar syarat bon yang ditandatanganinya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk See Mee Chun membenarkan sebahagian rayuan beliau dan mengurangkannya daripada RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Kesemua hakim berkenaan sebulat suara berpuas hati meskipun Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatanganinya dengan PKR, amaun RM10 juta itu adalah keterlaluan dan tidak munasabah.

Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM10 juta kepada parti itu.

Mahkamah turut memerintahkan PKR selaku responden membayar kos RM40,000.

Ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Mee Chun menyatakan, panel tersebut berpuas hati dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatanganinya.

Bagaimanapun, panel berkenaan berpuas hati hakim Mahkamah Tinggi tidak membuat penilaian yang betul berkaitan jumlah pampasan yang wajar diberikan.

Ujar beliau, meskipun PKR mempunyai kepentingan untuk mengekalkan kedudukan politiknya, RM10 juta itu tidak bersesuaian dengan kepentingan parti dalam penguatkuasaan obligasi bon.

“Seperti yang dijelaskan oleh responden (PKR), RM10 juta itu tidak terhad kepada satu kerusi Parlimen tetapi sebagai parti nasional, kerosakan berlaku kepada semua 222 bahagian.

“Justeru, adalah tidak munasabah untuk perayu memikul liabiliti RM10 juta secara bersendirian sedangkan formula RM10 juta itu berdasarkan 222 bahagian untuk parti di peringkat nasional. Melihat dari segi ini, jumlahnya juga tidak seimbang,” katanya.

Hakim Mee Chun turut menyatakan hakim Mahkamah Tinggi tidak mempertimbang tempoh 22 bulan perkhidmatan perayu sebagai Ahli Parlimen.

“Kami berpendapat amaun tersebut perlu mengambil kira jumlah maksimum RM200,000 yang dibelanjakan dalam PRU-14 untuk kerusi Parlimen dan tempoh 22 bulan sumbangannya sebagai Ahli Parlimen serta kempen pilihan raya,” ujarnya.

Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta dan kos RM50,000 selepas memutuskan bahawa bon itu kontrak yang sah dan mengikat.

Pada September 2020, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memulakan saman bagi pihak parti itu dengan mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatanganinya.

PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu mendakwa pada 24 Februari 2023, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti itu untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here