KUALA LUMPUR – Dua bintang terkenal industri muzik Malaysia, Nabila Razali dan Bella Astillah kini tampil dengan kolaborasi pertama mereka menerusi single terbaharu berjudul Cacaca.
Lagu itu menjanjikan satu pengalaman muzik yang segar dan penuh tenaga, mempamerkan sisi dinamik kedua-dua penyanyi berbakat itu.
Cacaca adalah sebuah lagu pop ceria dengan elemen tarian yang mengangkat tema keyakinan diri dan kebebasan bersuara. Dengan irama yang catchy dan lirik mudah diingati.
Lagu itu juga menggambarkan keseimbangan antara usaha keras dan takdir dalam mengejar kejayaan. Ia menunjukkan perjuangan untuk mencapai impian sambil menyedari kepentingan kesabaran dan ketekunan.
Liriknya juga menyentuh tentang cabaran hidup yang tak terduga dan keinginan untuk mendapatkan kepuasan emosi. Secara keseluruhannya, lagu ini menggalakkan pendengar untuk terus berusaha, memahami bahawa usaha dan nasib memainkan peranandalam mencapai matlamat.
Proses rakaman dijalankan dengan penuh semangat dan kerjasama erat antara Nabila dan Bella, yang masing-masing turut terbabit secara langsung dalam menyampaikan mesej positif melalui lagu.
Nabila Razali berkata, lagu Cacaca ini sangat kena dengan karakter dan vokal dia dan Bella.
“Adib Hussin selaku penerbit muzik yang memahami karakter dan vokal kami. Ia lebih memudahkan untuk kami menyampaikan lagu ini. Alhamdulillah, semua berjalan lancar.
“Diakui ini sebuah lagi projek yang fun dan menarik. Bekerjasama dengan Bella juga sangat mudah bekerja. Biar pun jadual kami masing-masing sibuk tapi kami berdua cuba untuk memberi yang terbaik menerusi lagu ini.
“Begitu juga dengan semua pihak yang bekerjasama dengan sangat baik,” katanya.
Nabila berharap agar peminat dapat menerima dengan penuh hati buah tangan terbaharunya bersama Bella.
Malah beliau yakin kolaborasi itu adalah suatu karya yang dapat menghiburkan dan memuaskan hati peminat mereka.
Nabila Razali.Sementara itu, Bella Astillah berkata, projek itu memberi pengalaman yang menyeronokkan kerana dia dan Nabila dapat menonjolkan keserasian yang unik dalam persembahan mereka.
“Proses rakaman lagu ini sebenarnya agak lucu. Ketika itu saya diberitahu bahawa ia adalah untuk nak test key sahaja. Jadi, kami pun cuba nyanyi. Bila selesai, kami diberitahu itu adalah proses rakaman sebenar. Jadi, macam kena scam jugalah.
“Nasib baiklah ketika itu, kami memang sudah bersedia dari segi melodi dan lain-lain. Walaupun baharu dengar beberapa kali, pengalaman bekerja dengan Nabila dan lagu ini sesuatu yang menarik.
Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, lagu ciptaan Mage (Faithful Publishing), Ja’a (Faithful Publishing), Ezra Kong (Raksasa Studio) ini sudah boleh didapati di semua platform penstriman digital, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
Video muzik rasmi lagu ini turut dilancarkan serentak itu menampilkan konsep visual yang penuh warna-warni dan koreografi bertenaga yang sesuai dengan tema lagu. – MalaysiaGazette