KUANTAN – Seorang penduduk di Kampung Selamat, di sini terkejut mendapati keseluruhan bumbung di bahagian ruang tamu rumahnya hilang diterbangkan kepala angin dalam kejadian pada jam 5.30 pagi semalam.
Menurut Muhamad Bakeri Mohd Sidek, 33, dia bersama isteri dan dua anak yang berusia tujuh dan sembilan tahun sedang tidur di bilik mereka ketika kejadian tersebut.
“Tiba-tiba, saya dengar bunyi berdengung macam angin kuat. Mulanya ingatkan hujan batu. Saya celik mata, keluar untuk tengok bunyi apa.
“Terkejut saya tengok bahagian ruang tamu dah tiada atap. Habis,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di sini hari ini.
Muhamad Bakeri memberitahu, dalam kejadian itu, sebahagian bumbung bahagian hadapan rumahnya turut hilang diterbangkan angin.
Kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan kepada kereta Perodua Axia miliknya apabila terdapat serpihan atap asbestos yang jatuh di atas bumbung kereta itu sehingga kemik.
Dia berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sejak menetap di situ sejak 33 tahun lepas.
“Masa kejadian tu hujan lebat dan kami selamatkan apa yang sempat sahaja. Barang-barang yang tak sempat selamat macam peti sejuk habis rosak.
“Mesin-mesin kimpalan dan peralatan lain juga kena hujan. Kalau tak termasuk kerosakan kereta, mungkin kerugian dianggarkan sekitar RM5,000,” jelasnya lagi.
Jelasnya, mereka juga terpaksa tidur bergelap malam tadi selepas bekalan elektrik dipotong Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengelakkan berlaku litar pintas yang boleh membahayakan nyawa mereka sekeluarga.
Dia yang bekerja sendiri berkata, bantuan berupa kewangan atau dana bagi membaiki semula bumbung ruang tamu rumahnya itu amat diperlukan segera.
Setakat ini, katanya, dia menerima bantuan dari wakil rakyat daerah tersebut serta penduduk kampung.
Namun, bantuan yang diterima masih belum mencukupi untuk menampung kos kerosakan yang berlaku. – MalaysiaGazette