KUANTAN – Tiada kemalangan jiwa membabitkan kejadian lori mengundur kerana gagal mendaki bukit tinggi seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Jalan Bukit Damar – Lakum, Temerloh pada jam 11.45 pagi semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Volvo yang membawa muatan amang.
“Siasatan mendapati, lori itu telah mengundur setelah tidak dapat mendaki bukit di lokasi kejadian.
“Ketika sampai di lokasi, pemandu lori tidak kelihatan dan dimaklumkan pergi ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan luka ringan,” katanya.
Tambah Mazlan, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian daripada pemandu lori terbabit.
Terdahulu, tular klip video rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) berdurasi 57 saat di media sosial memaparkan sebuah lori yang dipandu menaiki bukit tiba-tiba mengundur.
Dalam klip video tersebut, setelah beberapa saat mengundur, ia kemudian dilihat membelok ke bahu jalan dan terjunam ke cerun bahu jalan di sebelah kanan. – MalaysiaGazette