Ahmad Zahid (empat dari kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara MARA Incorporated Sdn Bhd, Felcra Berhad dan Provabytes Sdn Bhd. di sebuah hotel di Damansara, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Majllis Amanah Rakyat (MARA) tidak memilih bulu dan akan bertindak terhadap mana-mana peminjam yang culas membayar semula pinjaman yang telah diberikan oleh agensi itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap termasuk melakukan penyitaan kepada peminjam yang ingkar.

“Kumpulan ini memang ada dan apa yang dilakukan bukan hanya terhadap tindakan undang-undang juga penyitaaan wajib dilakukan.

“…sebab pinjaman bukan geran, bukannya bantuan tapi pinjaman yang perlu dibayar balik kerana kita perlukan modal pusingan untuk memberi peluang kepada peminjam lain untuk maju dalam bidang masing-masing.

“Jadi, dalam perkara ini kita tidak memilih bulu untuk mengambil tindakan kerana  ini adalah wang rakyat. Wang rakyat adalah dari tax payer (pembayar cukai)… ini harus difahami oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara MARA Incorporated Sdn Bhd, Felcra Berhad dan Provabytes Sdn Bhd.

Hadir sama pada Majlis itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mahamad.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, MARA yang merupakan agensi di bawah kementeriannya sebelum ini berjaya menurunkan jumlah pinjaman tidak berbayar sehingga tahap 10 peratus.

Tetapi kini, jumlah pinjaman tidak berbayar agensi itu sudah mencapai satu digit.

“Kita belum berpuas hati namun, kita mempunyai usaha-usaha bukan sahaja memberi pinjaman tetapi melakukan penyeliaan, melakukan latihan dan membuat tindakan-tindakan susulan,” ujarnya.

Ahmad Zahid yang ditanya saranannya terhadap pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan yang kediamannya diserbu pegawai MARA atas dakwaan gagal menjelaskan hutang hampir RM1 juta, beliau secara berseloroh berkata: “Itu kena tanya dengan Ketua Pengarah MARA”.

Semalam, industri hiburan kecoh apabila kediaman Rozita dilapor diserbu pegawai MARA. Semasa serbuan, Rozita dan suami, Zain Saidin tiada di rumah.

Sumber dilapor berkata, serbuan dibuat bagi membolehkan MARA menilai barangan dalam rumah dua tingkat itu bagi tujuan penyitaan.

Ketika serbuan dibuat, hanya kelibat ibu Rozita yang dilapor mendiami rumah itu, manakala anak sulung Che Ta, Ammar Effendi tiba selepas sejam pegawai MARA memasuki kediaman terbabit. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast