Roziana Cindy berkolaborasi dengan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda menerusi lagu Paling Sejati.

KUALA LUMPUR – Bintang Singapura, Roziana Cindy muncul penyanyi pertama dari negara itu yang berkolaborasi dengan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda menerusi lagu Paling Sejati.

Roziana berkata, lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ade itu adalah bukti dedikasinya dalam menghasilkan karya muzik yang mendalam merangkumi emosi tulus dan pengalaman hidup.

“Dalam melodi yang penuh perasaan ini, setiap liriknya seolah-olah menggambarkan jalinan emosi yang kuat dan ikatan yang tidak tergoyahkan antara dua hati.

“Lagu ini mampu membawa pendengar menyelami lautan kasih sayang yang dalam di mana setiap baitnya mencerminkan pengalaman cinta yang murni dan abadi.

“Selain itu, keindahan liriknya juga mengekspresikan betapa pentingnya menghargai setiap detik dalam sebuah perhubungan, merayakan momen-momen kecil yang membentuk ikatan itu menjadi sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Lebih menarik lagi, Roziana yang juga seorang personaliti TV di Singapura itu turut menjadi Penerbit Eksekutif untuk lagu dan muzik video single sulungnya itu.

Roziana yang juga seorang personaliti TV di Singapura.

Paling Sejati menggabungkan elemen balada moden dengan sentuhan nyanyian tenang, memberikan pengalaman audio yang unik kepada pendengar secara tidak langsung menonjolkan keupayaan anak kelahiran Singapura itu untuk membawa emosi dalam setiap bait lirik.

Lebih istimewa lagi, single itu dirakamkan di Jakarta, Indonesia manakala video muzik (MV) menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Yogyakarta demi mempersembahkan latar kesenian yang kaya serta meraikan kerjasama rentas budaya dalam dunia muzik serantau.

Selain berharap lagu itu dapat menyentuh hati pendengar di Malaysia, Roziana menyifatkan lagu tersebut sebuah karya seni yang memaparkab perpaduan antara budaya Singapura, Malaysia dan Indonesia.

“Kejujuran dan keikhlasan dalam lirik serta melodi lagu ini diharap dapat memberi inspirasi dan menjadi simbol cinta sejati yang boleh dirasai bersama.

“Lagu ini adalah satu karya seni yang merentasi sempadan, memaparkan perpaduan antara budaya Singapura, Malaysia dan Indonesia mengukuhkan persaudaraan dan semangat bersama dalam menghargai muzik yang menyentuh jiwa.

“Justeru, saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati semua pendengar dan menjadi inspirasi untuk menghargai kasih sayang dalam hidup. Sejujurnya, lagu Paling Sejati adalah luahan jiwa saya mengenai kepercayaan kepada cinta sejati,” katanya.

Lagu Paling Sejati kini berada di semua platform muzik digital termasuk video muziknya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here