Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Sekurang-kurangnya tiga syarikat pemaju ternama di negara ini menangguhkan rancangan mereka untuk melancarkan hartanah di Kuala Lumpur.

Berdasarkan semakan yang dilakukan CIMB Research, SP Setia Bhd., Malaysian Resources Corp Bhd dan IJM Bhd membuat keputusan itu susulan syarat terbaharu yang dikenakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berhubung kajian geoteknikal yang mungkin menyebabkan proses kelulusan bagi pelancaran hartanah menjadi lebih panjang.

Kelulusan pembinaan di Kuala Lumpur buat masa ini digantung sementara sejak Ogos lalu berikutan insiden lubang benam di Jalan Masjid India.

Bagaimanapun, Mah Sing Group Bhd. tidak mengalami sebarang isu untuk mendapatkan kelulusan bagi projek-projek mereka kerana telah pun menyertakan sekali kajian geoteknikal bertauliah sebelum membuat permohonan.

Ini termasuk projek terbaharu mereka di Kuala Lumpur, M Aspira yang secara rasminya dilancarkan pada 20 November lalu.

Menurut CIMB Research, melangkah ke tahun 2025, sektor hartanah dijangka memerlukan pemangkin baharu bagi memastikan ia boleh mengekalkan kepentingan pelabur dalam saham hartanah.

Ia disebabkan nilai transaksi hartanah di seluruh dunia semakin sederhana ditambah dengan indeks pertumbuhan harga rumah yang perlahan serta penangguhan perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura ke Januari 2025.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast