KUALA LUMPUR – Beberapa ahli Parlimen pembangkang berpendapat, insiden sebuah hospital menahan jenazah bayi di dalam peti sejuk beku kerana ibu bapanya gagal menjelaskan bil lebih awal, tidak sepatutnya berlaku.
Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mendesak pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyiasat insiden tersebut dan memastikan ia tidak berulang.
“Ini tidak sepatutnya berlaku di negeri yang kaya dengan sumber dan kenapa pihak hospital boleh izinkan perkara ini berlaku keatas seorang bayi Islam.
“Kami menuntut kerajaan dan KKM untuk menyiasat apa yang telah berlaku dan sekiranya terdapat salah laku, pihak pengurusan hospital atau mana-mana pihak yang bertanggung jawab patut dikenakan tindakan tata tertib dan undang-undang,” katanya semasa sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau merujuk kepada insiden jenazah bayi yang baru dilahirkan terpaksa ditahan di hospital selama dua minggu berikutan ibu bapa bayi gagal menjelaskan bil hospital lebih awal seperti dilaporkan.
Dalam pada itu, Datuk Dr Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata insiden malang itu sepatutnya menjadi pengajaran buat semua pihak agar sifat perikemanusiaan diterapkan dalam apa jua situasi.
“Bagi saya, insiden ini sangat mendukacitakan, sudah seharusnya ia menjadi pengajaran kepada kita dan KKM mesti mengambil tindakan siasat dan melihat secara terperinci.
“Saya kira ini di luar keperimanusiaan dan saya berpendapat pengurusan hospital sepatutnya mempunyai perasaan supaya bayi tersebut diuruskan secepat mungkin.
Kalau benar keluarganya tidak berkemampuan, banyak lagi sumber yang boleh membantu,” katanya dalam sidang media sama.
Sementara itu, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) dalam sidang media sama turut menggesa agar insiden itu disiasat segera.
“Saya turut menggesa agar pihak berwajib menyiasat isu ini supaya kes ini tidak berulang dan kita mengharapkan sekiranya ada isu-isu begini pihak bertanggungjawab segera menghulurkan bantuan,” tegasnya
Semalam, media melaporkan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) berkongsi kisah pengurusan jenazah bayi lelaki yang tidak sempurna dan telah ditahan di dalam peti sejuk beku di sebuah hospital swasta kerana keluarganya tidak mampu melunaskan bil berjumlah lebih RM3,000, sejak dua minggu lalu.
Jenazah tersebut hanya dibenarkan dibawa keluar selepas bapanya membayar bil berkenaan pada jam 11 pagi semalam. -MalaysiaGazette