MELAKA – Seorang pengurus sebuah syarikat insurans mendakwa dikasari ahli perniagaan terkenal bergelar Datuk Seri bersama empat lagi individu yang menyerangnya di sebuah restoran di sini bulan lalu.
Mangsa, Muhammad Nur Hakim Baharudin, 30, berkata, apa yang lebih mengecewakan walaupun dua laporan polis sudah dibuat setelah hampir kejadian itu berlaku pada 14 November lalu, kesemua mereka masih belum dihadapkan ke muka pengadilan
Dakwanya, bukti berkaitan insiden itu juga jelas terakam dalam sistem kamera litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan ketika kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu di Taman Melaka Raya.
“Waktu itu, saya bersama seorang rakan sekerja sedang menemu duga seorang wanita yang ingin menyertai syarikat kami yang mana dia sebelum ini adalah pekerja di syarikat Datuk Seri itu.
“Tiba-tiba, kami didatangi lima individu yang saya kenali iaitu tiga lelaki dan dua wanita termasuk Datuk Seri berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya.
“Selepas itu, Datuk Seri terbabit mengetuk kepala saya dengan tangannya sebelum seorang lagi menumbuk mulut saya sehingga kepala saya terhantuk ke dinding kedai,” dakwanya lagi.
Menerusi laporan polis yang ditunjukkan kepada pemberita padang sidang media itu, Muhammad Nur Hakim mendakwa dia tidak membalas serangan itu kerana terkejut dengan tindakan agresif mereka.
“Malah saya juga percaya individu yang saya temu duga pada hari kejadian mungkin dihantar Datuk Seri berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan saya susulan beberapa pekerjanya sebelum ini telah berhenti dan menyertai syarikat saya.
“Saya sudah buat laporan polis di Balai Polis Tengkera pada 28 November lalu namun hairan kerana selepas hampir sebulan kejadian berlaku masih belum ada berita yang jelas daripada pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, wakil peguam, Sa’eed Khaliq berkata kekasaran sehingga mendatangkan kecederaan terhadap anak guamnya itu mempunyai bukti kukuh melalui rakaman CCTV untuk membantu pihak berkuasa.
“Kami berharap ada siasatan secara telus dan adil daripada pihak berkuasa kerana saya percaya setakat ini tiada apa-apa tindakan susulan dari pihak polis.
“Diharapkan kes ini dapat diselesaikan segera kerana ia jelas melalui rakaman CCTV, pelaku-pelakunya juga telah dikesan,” katanya. – MalaysiaGazette