Shamsulmezah Shamsul penerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-26.

KOTA KINABALU – Shamsulmezah Shamsul pernah hampir putus asa untuk meneruskan pengajian selepas didiagnos kanser ovari pada semester keempat pengajiannya pada bulan Ogos 2013.

Namun, ibu dan bapanya tidak pernah membiarkan saya menyerah kalah.

“Mereka menjadi tulang belakang kekuatan saya,” katanya.

Ternyata dugaan yang dihadapi oleh Shamsulmezah tidak mematahkan semangatnya untuk mencapai kejayaan, terbukti apabila graduan dari Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dinobatkan sebagai penerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-26.

Shamsulmezah, 24, yang berasal dari Tamparuli berjaya menamatkan pengajian dalam program Perhutanan Tropika Antarabangsa dengan Purata Nilai Gred
Kumulatif (PNGK) cemerlang 3.77.

“Menerima anugerah ini adalah impian yang menjadi kenyataan.

“Sokongan kuat daripada ibu serta bimbingan daripada pensyarah membolehkan saya menyiapkan tesis yang bertajuk “Distribution Modelling of Graphium stratiotes (Papilionidae) and Delias eumolpe (Pieridae) in Sabah, Malaysia” meskipun berhadapan dengan kesan sampingan rawatan kemoterapi.

“Saya sering belajar dari rumah kerana menghadiri kelas secara fizikal terlalu sukar, namun saya tidak pernah berhenti mencatat nota sendiri dan mengulang kaji dengan tekun, walaupun hanya mampu belajar sedikit demi sedikit.

“Ibu saya adalah penjaga utama ketika saya di hospital. Dia bukan sahaja menjaga saya, malah menemani saya menyiapkan tesis, walaupun perlu keluar pada waktu tengah malam untuk mencari tempat kerja yang sesuai,” katanya yang memiliki ketabahan luar biasa dengan mengimbangi antara rawatan dan tanggungjawab akademik.

Shamsulmezah merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang entomologi dengan hasrat menjadi penyelidik serangga, selain mahu terus
menyumbang kepada ilmu perhutanan dan pemuliharaan biodiversiti di Malaysia.

Shamsulmezah turut terpilih sebagai penerima Anugerah Kelestarian Perhutanan dalam satu acara ringkas selepas sidang enam Majlis Konvokesyen UMS, yang
disaksikan Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast