KUALA LUMPUR – Pengamal undang-undang dan pakar kriminalogi sependapat tindakan meminda dan meluluskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) terutama Seksyen 233 adalah tepat dalam usaha membanteras jenayah seksual terutama kanak-kanak dalam media sosial.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata, pindaan merangkumi pebagai aspek seperti pengantunan seksual, pemaparan seks, pornografi, kandungan tidak senonoh dan tidak sesuai dengan kanak-kanak.
Menurutnya, tidak timbul isu pindaan tersebut menyekat kebebasan bersuara kerana terdapat nilai ambang yang diletakkan pada akta iaitu dengan meminda perkataan jelik kepada jelik melampau.
Tambahan Perkara 10 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen membuat undang-undang untuk mengawal kebebasan bersuara demi kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam atau prinsip moral yang berkenaan.
“Kebebasan ada had dan batasan. Seksyen 233 (1) Akta 588 ini kita nampak ada pindaan ‘jelik’ kepada ‘jelik melampau’ yang merupakan tahap ambang yang bersesuaian dengan keadaan semasa yang menuntut tindakan lebih proaktif diambil untuk mengatasi jenayah yang berleluasa.
“Dari satu segi kita boleh bersuara tahap ini tapi bila masuk ke tahap yang lebih melampau, lebih jelik seperti kandungan seksual, jenayah kanak-kanak di sinilah peranan undang-undang ini.
“Pada saya kerajaan telah meletakkan satu nilai ambang tertentu yang dicadangkan dalam pindaan akta ini,” tegasnya.
Ikmal Hisham berkata, dengan pindaan berkenaan membolehkan jenayah dalam media sosial didakwa dan dibuktikan dengan lebih mudah dan jelas di mahkamah.
“Sebab bila kita bercakap mengenai jelik melampau ini, jelik yang macam mana? Contoh nak menipu orang, buat pelaburan palsu atau menyentuh sensitiviti agama, benda ini boleh dibuktikan di mahkamah.
“Kalau pihak yang berkenaan nak cabar peruntukan undang-undang mereka boleh lakukan di mahkamah juga sebab elemen niat itu boleh dibuktikan.
“Itu perlindungan yang diberikan dalam pindaan terbaharu ini, bermaksud pihak berkuasa hendak letakkan imbangan di antara kebebasan bersuara dan had yang dibolehkan,” katanya.
Ikmal Hisham berkata, pindaan tersebut berjaya diluluskan selepas sekian lama dicadangkan kerana ahli Parlimen melihat ada keperluan undang-undang itu diwujudkan berikutan perkembangan pesat media sosial.
Tambahnya, terdapat kes yang berlaku antaranya insiden melibatkan kanak-kanak membuat keputusan menamatkan hidup mengikut keputusan undian di media sosial selain daripada banyak berlaku mudarat kepada kanak-kanak dalam kes melibatkan buli dan jenayah seksual yang berleluasa.
Selain daripada itu, kes membabitkan pakar psikiatri kanak-kanak rakyat Malaysia di Ireland, Amirul Arif Mohd Yunos yang dihukum penjara baru-baru ini kerana menjalankan aktiviti pengantunan seksual serta mendera remaja perempuan di sana, boleh berlaku di negara ini.
“Sekarang algoritma media sosial telah berubah lebih luas dan kadang-kadang boleh ‘menyesatkan’ orang ramai, 10 tahun dulu media sosial ada tetapi tak sedahsyat kesannya sekarang,” tambah beliau.
Pakar kriminologi bebas Shahul Hamid Abd Rahim pula berkata, pindaan tersebut memperlihatkan keazaman kerajaan dalam mencegah jenayah siber dalam kalangan kanak-kanak daripada terus berlaku.
“Sebenarnya bagus untuk mencegah jenayah dalam kalangan kanak-kanak. Pada masa yang sama penguatkuasaan harus ditingkatkan lagi.
“Modus operandi pedofilia ini akan muat naik gambar kanak-kanak dalam platfom media sosial jadi tugas dan tanggungjawab Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sentiasa melakukan pemantauan.
“Sebab utama penjenayah menggunakan platform dalam talian kerana sukar untuk dikesan sebab itu bila ada pindaan, langkah membekukan lesen dan sebagainya ia memang bagus,” kata Shahul Hamid.
Beliau berkata, dengan pindaan yang lebih ketat ibu bapa seharusnya tidak berasa malu untuk membuat laporan sekiranya anak mereka menjadi mangsa jenayah seksual.
“Banyak jenayah yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Selalu saya pesan kepada ibu bapa dan orang ramai supaya tidak muat naik gambar kanak-kanak di platform yang ada. Itu yang mengundang jenayah.
“Saya juga selalu berpesan ibu bapa tak perlu malu dan takut untuk membuat aduan bagi mencegah berlaku jenayah sedemikian, selagi tidak dibuat aduan, jenayah seperti ini akan terus meningkat,” tegasnya.
Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024.
Pindaan tersebut memasukkan subseksyen baharu ke dalam Seksyen 233 yang memperuntukkan hukuman berbeza dan lebih tinggi jika kesalahan dilakukan terhadap seorang kanak-kanak berumur bawah 18 tahun, yang mentafsirkan kesalahan yang dilakukan sebagai kesalahan boleh tangkap.
Subseksyen baharu itu juga turut memperuntukkan pesalah boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Fasal 91(a)(i) pula mencadangkan penggantian perkataan ‘jelik’ dengan perkataan ‘jelik melampau’ pada Seksyen 233 (1)
Manakala Fasal 91(a)(ii) bertujuan untuk memasukkan unsur kesalahan yang baharu dalam subseksyen sama berhubung dengan perlakuan apa-apa fraud dan kecurangan kepada mana-mana orang. – MalaysiaGazette