JOHOR BAHRU – Polis merampas 476.50 liter air ketum bernilai RM12,000 selepas melakukan serbuan di kawasan Ulu Tiram di sini semalam.
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 melakukan serbuan tersebut pada pukul 10 malam selepas melakukan risikan dan mendapat maklumat awam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya merampas peralatan yang digunakan untuk memasak daun ketum iaitu satu periuk dan masing-masing dua dapur gas serta tong gas.
“Polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun bersama-sama sejumlah air ketum. Hasil siasatan mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah narkotik.
“Kegiatan pengedaran air ketum ini dipercayai mula aktif sejak pertengahan 2024 dengan modus operandi suspek mengedar air ketum di Kampung Sungai Tiram dan kawasan berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, jumlah air ketum yang dirampas dalam operasi kali ini dianggarkan boleh digunakan seramai 953 orang jika terlepas ke pasaran.
Mohd Sohaimi berkata, suspek lelaki berkenaan ditahan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda atau penjara.- MalaysiaGazette