Polis menumpaskan sindiket mengimport barangan berjenama antarabangsa tiruan selepas melakukan serbuan di sebuah premis di Kompleks Austin Perdana, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Taktik sindiket mengimport barangan berjenama antarabangsa tiruan dari negara luar sebelum menjualnya secara dalam talian berjaya dihidu pihak berkuasa.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, perbuatan tersebut terbongkar dalam satu serbuan di sebuah premis di Kompleks Austin Perdana di sini semalam.

Menurutnya, serbuan pada pukul 10.30 pagi itu merampas ratusan baju, seluar, topi, dompet, kasut dan tali pinggang yang dianggarkan bernilai lebih RM1.41 juta.

Pihaknya bersama wakil cap dagang Global Trade Sheild Sdn Bhd membuat pemeriksaan di hadapan lima individu termasuk penjaga dan pekerja premis mendapati terdapat pakaian, beg, kasut, topi, tali pinggang dan dompet berjenama tiruan disimpan di premis itu.

“Barangan berjenama seperti Louis Vuitton, Balenciaga, Gucci dan Chanel yang tiruan dijual secara dalam talian dengan menggunakan platform media sosial sejak empat tahun lalu.

“Setiap bag, baju dan dompet dijual dengan harga antara RM350 hingga RM500. Semua barangan ini dipercayai diimport dari negara luar,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah menjalankan penjualan pada waktu tengah hari dan malam.

“Mereka juga sentiasa berjaga-jaga dengan kehadiran pihak berkuasa dan sentiasa bersedia untuk melarikan diri sekiranya terkesan pihak yang mencurigakan,” katanya.

Menurut beliau, pihak polis berjaya merampas  antaranya 314 baju, 14 seluar, tujuh tali pinggang, tujuh dompet, enam topi, 20 selipar, 41 kasut dan 10 beg dengan jenama terkenal berkenaan.

“Nilai rampasan ini dianggarkan berjumlah RM1,412,000,” katanya.

Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(C) Akta Cap Dagangan 2019 kerana mempunyai dalam milikan bagi maksud milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Katanya, kes dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.

“Kita menyeru masyarakat supaya tidak membeli barangan yang tidak mempunyai cap dagang tulen di media sosial dan masyarakat perlu cakna serta peka serta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penjualan ini kepada pihak berkuasa,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here