KUALA LUMPUR – Golongan muda perlu merebut peluang dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkaitan penjagaan kesihatan kerana ia merupakan industri yang menarik untuk diceburi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eastwood Park Limited (EP), John Thatcher berkata, walaupun kurangnya anak muda menceburi industri ini dalam karier di peringkat global namun perkembangannya semakin pesat.
Oleh itu, menurut beliau, lebih banyak teknologi baharu perlu diperkenalkan dalam bidang penjagaaan kesihatan bagi menarik penyertaan lebih ramai golongan muda.
“Ramai yang berpendapat apabila memikir tentang hospital, mereka hanya menggambarkan karier sebagai doktor dan jururawat namun skop pekerjaannya sebenar sangat luas.
“Kempen kesedaran tentang pekerjaan dan apa yang berlaku di hospital boleh dipergiatkan menerusi peranan sesuatu peralatan yang memastikan nyawa pesakit dapat diselamatkan,” katanya.
Beliau ditemui menjadi panel perbincangan pada Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Baru-baru ini, EP yang juga syarikat penyedia latihan dari United Kingdom (UK) menjalinkan kerjasama tiga serangkai antara national Integrated College (NIC) dan BECTA Training Academy Sdn. Bhd (BECTA) ke arah memperkasakan lagi bidang pembangunan kejuruteraan bioperubatan dan peranti perubatan bukan hanya di UK, malah lebih utama di negara ini.
Mengulas lanjut, Thatcher berkata, TVET dalam penjagaan kesihatan menjanjikan potensi besar dengan mengambil kira apa yang berlaku di luar negara terutamanya di UK.
Kata beliau, ini kerana karier dalam industri itu semakin mendapat pengiktirafan melibatkan kawasan perkhidmatan sokongan teknikal.
Beliau turut memuji usaha yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memperkasakan TVET di negara ini.
Ia dibuktikan menerusi komitmen tinggi kerajaan dalam memperkasa bakat tempatan melalui peningkatan peruntukan TVET kepada RM7.5 bilion dalam Belanjawan 2025. – MalaysiaGazette
