KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menggubal akta baharu berkaitan keharmonian agama, jelas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami.
Beliau menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapat perlindungan sama rata dan adil.
“Pada masa ini, undang-undang sedia ada sudah memadai dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara.
“Sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa,” jawab beliau di Dewan Rakyat hari ini.
Saraswathy menjawab soalan lisan daripada RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu adakah kerajaan bercadang menggubal Akta Keharmonian Agama bagi mengatasi masalah polemik agama yang makin berleluasa di negara kita sejak kebelakangan ini.
Jelas Saraswathy lagi, kerajaan sudah memilik akta-akta seperti Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] iaitu kesalahan menghasut, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, Seksyen 295 Kanun Keseksaan [Akta 574], Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Justeru itu, kerajaan berpandangan, tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu seperti Akta Keharmonian Negara buat masa ini dan memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
“Namun demikian, sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan atau kenyataan (hate speech) atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman, maka Kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” ulas Saraswathy lagi. – MalaysiaGazette