KUALA LUMPUR – Alat bantuan pernafasan (ventilator) atau VS1 keluaran Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) menjadi tarikan pengunjung sempena Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
VS1 melakar sejarah apabila produk peranti perubatan itu dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada pameran yang berlangsung tiga hari bermula semalam.
Turut menjadi tumpuan adalah VS2 Pro yang merupakan versi kedua VS1 yang dimasukkan elemen kecerdasan buatan (AI)dan teknologi tanpa wayar.
Penerangan kepada pengunjung mengenai kedua produk keluaran tempatan itu diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil.
APSB yang juga adalah perunding perkhidmatan dan penjagaan kesihatan di negara ini mula membangunkan VS1 pada tahun 2020 menggunakan bahan dan perisian berdasarkan lesen terbuka dari Medtronic.
VS1 dijangka berada di pasaran pada suku pertama tahun depan.
Syarikat itu berhasrat untuk mempromosikan penggunaan VS1 di seluruh kemudahan kesihatan awam dan swasta di Malaysia termasuk di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) turut menyokong APSB dengan menyediakan garis panduan, peraturan dan bantuan dalam bentuk geran, pengurusan harta intelek, perolehan dan pengkomersialan.
Selain itu, MDA bekerjasama dengan APSB menerusi garis panduan program Sandbox untuk memastikan VS1 mematuhi piawaian kualiti dan keselamatan antarabangsa.
Pelancaran VS1 semalam menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia menjadi peneraju global dalam inovasi perubatan dan meletakkan asas untuk impak transformasi INNOMed dalam industri penjagaan kesihatan.
Sementara itu, IMDEC 2024 diadakan secara serentak dengan Mesyuarat Tahunan Global Harmonization Working Party (GHWP) ke-28.
Acara anjuran MDA itu berjaya menghimpunkan lebih daripada 600 delegasi antarabangsa dan 10,000 pelawat dari pelbagai sektor industri penjagaan kesihatan termasuk pengilang, pengawal selia, ahli akademik dan inovator.
Bertemakan ‘Mengoptimumkan Kuasa Teknologi Perubatan, Membentuk Masa Depan Penjagaan Kesihatan’, acara ini menyediakan platform dialog bersama industri, perkongsian ilmu dan kerjasama dalam menangani cabaran kritikal serta menerokai kemajuan teknologi yang mentransformasi sistem penjagaan kesihatan.
Acara perasmian penutup IMDEC 2024 akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok. – MalaysiaGazette