KLUANG – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh sebuah kereta di Kilometer 68.3 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini malam tadi.
Kejadian pada pukul 10 malam itu melibatkan motosikal jenis Nouvo LC ditunggang mangsa dan dibonceng teman lelakinya dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku semasa motosikal pasangan itu dari Simpang Renggam menghala ke Layang Layang.
“Semasa sampai di tempat kejadian motosikal terbabit hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Proton Saga tersebut.
“Akibat kemalangan itu wanita tersebut yang berusia 19 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, teman lelaki wanita itu yang berusia 20 tahun mengalami cedera ringan pada bahagian tangan, kaki dan belakang badan manakala pemandu Proton Saga berusia 19 tahun tidak cedera.
Menurutnya, pembonceng motosikal berkenaan dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom di sini untuk mendapat rawatan lanjut sebagai pesakit luar.
Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 412(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette