KLUANG – Seorang wanita warga emas kerugian RM10,130 selepas disamun seorang lelaki bertopeng ketika tidur di rumahnya di Taman Intan di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian itu berlaku pukul 3 pagi ketika wanita berkenaan tinggal bersendirian di rumah teres dua tingkat berkenaan.
“Mangsa tersedar dari tidur dan terlihat seorang lelaki bertopeng datang ke arahnya sambil memintanya untuk diam dan tidak menjerit dengan menunjukkan isyarat tangan.
“Suspek yang tidak bersenjata tetapi kemudiannya telah menekup mulut mangsa dengan tangan sambil mengambil dua utas gelang emas dan seutas rantai emas yang dipakai oleh mangsa ketika kejadian.
“Suspek turut mengambil beg tangan warga emas berkenaan yang diletakkan di bawah katil di ruang tamu rumah tersebut dan mengambil barang-barang dalam beg tersebut, i wang tunai RM200 selain empat bentuk cincin emas jenis 916 dan lima bentuk cincin batu jenis tak pasti,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, suspek tidak menggunakan sebarang senjata namun memakai sarung tangan ketika melakukan samun berkenaan.
Katanya lagi, suspek memiliki saiz fizikal yang kurus dengan ketinggian sekitar 155 sentimeter.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette