KUALA LUMPUR – Masalah kesesakan lalu lintas di bandaraya Kuala Lumpur, khususnya kawasan Segitiga Emas, Bukit Bintang adalah isu legasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengatasi masalah tersebut
“Bagi pengurusan trafik, kita sendiri bersama Timbalan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya dengan dianggotai oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan KWP (Kementerian Wilayah Persekutuan).
“Kita ada pusat kawalan khas untuk memantau kesesakan lalu lintas dan beberapa hal lain dengan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berjaya mengelakkan kesesakan berpanjangan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Setahun Dr Zaliha Mustafa di Auditorium DBKL, di sini, hari ini.
Dr Zaliha berkata, warga Malaysia digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan jalan raya.
“Ini juga merupakan usul kita untuk menambah bas GOKL untuk menggalakkan lagi rakyat menggunakan pengangkutan awam.
“Saya yakin ini juga dalam perancangan kerajaan pada tahun akan datang untuk terus melihat Kuala Lumpur ini bebas dari kesesakan trafik,” ujarnya.
Tambah beliau, kementeriannya sedang bekerjasama dengan bahagian trafik DBKL dan bekerjsama dengan trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengatasi masalah kesesakan di ibu negara. – MalaysiaGazette