KUANTAN – Pengusaha bas ekspres di Terminal Sentral Kuantan (TSK) mendakwa menanggung kerugian lebih RM200,000 selepas pelaksanaan kadar caj kemasukan ke terminal itu yang meningkat sekali ganda.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM), S Sathies berkata, jumlah kerugian itu ditanggung oleh kira-kira 40 pengusaha yang direkodkan dalam tempoh 2020 sehingga tahun ini.
Lebih membingungkan para pengusaha turut dikenakan caj tambahan seperti komisen dan fasiliti yang dianggap membebankan dan tidak wajar.
”Sejak pengurusan oleh Energetic Point Sdn Bhd (EPSB) ambil alih pada tahun 2020, kadar caj kemasukan bas telah meningkat 100 peratus daripada RM5 kepada RM10 bagi setiap kemasukan.
”Pengusaha bas juga mempersoalkan justifikasi kenaikan ini kerana TSK masih belum diberi penarafan gred oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sehingga kini Disember 2024,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Jelas Sathies, kenaikan itu disifatkan bercanggah dengan arahan terminal tanpa penarafan gred hanya boleh mengenakan kadar caj bertaraf gred C kepada pengusaha serta penumpang.
Terdahulu pada 1 April lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, APAD memperkenalkan penarafan mengikut gred A, B atau C yang menentukan tahap perkhidmatan adalah setimpal dengan caj maksima yang dikenakan oleh pihak terminal.
Dalam pada itu, pengusaha bas juga khuatir dengan tahap keselamatan di TSK yang semakin membimbangkan dan berharap lebih banyak lampu dipasang di kawasan sekitar supaya lebih terang bagi menjamin keselamatan orang awam.
”Pengusaha bas juga menekankan perlunya peningkatan keselamatan di terminal. Mereka mencadangkan pemasangan pagar anti-panjat bagi mengelak insiden kecurian serta kemasukan penumpang tanpa tiket ke platform.
”Penambahbaikan pencahayaan di kawasan sekitar terminal yang suram dan gelap gelita pada waktu malam perlu bagi menaikkan imej TSK sebagai hab pengangkutan utama di Pahang,” katanya.
Justeru beliau berharap pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengambil tindakan segera untuk menangani isu ini demi menjaga kepentingan mereka dan para penumpang yang menggunakan perkhidmatan di terminal itu. – MalaysiaGazette