KUALA LUMPUR- Datasonic Group Bhd. merancang sebuah pelan transformasi dalam usaha untuk menjadi peneraju pasaran identiti fizikal dan digital dengan ekosistem pengurusan bersandarkan AI dan identiti digital.
Dalam kenyataannya syarikat itu berkata, pelan tersebut akan disokong dana RM554.95 juta yang diperoleh daripada terbitan bonus sehingga 1.55 bilion waran.
Ia berdasarkan satu waran bagi setiap dua saham yang dimiliki pemegang saham.
Katanya, ia berhasrat untuk meluaskan kehadirannya dalam pasaran dengan meningkatkan portfolio produk dan perkhidmatan serta menambah aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalaman.
“Menerusi teknologi generasi baharu seperti AI, kami boleh meletakkan syarikat ini sebagai pemain utama inisiatif transformasi digital negara seperti MyDigital ID,” kata Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic, Datuk Hanifah Noordin.
Menurut Hanifah, langkah pertama dalam pelan transformasi itu adalah membeli 51 peratus pegangan dalam Innov8tif Holdings Sdn Bhd pada harga RM40 bilion.
Pengambilan alih itu bakal memberi Datasonic akses segera serta penembusan terhadap pasaran baharu dalam perbankan, telekomunikasi dan laporan kredit.
Selain itu, Datasonic turut melantik Pengarah Bukan Eksekutif, Datuk Puvanesan Subenthiran sebagai Pengarah Eksekutif berkuatkuasa serta-merta.
Punavesan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengasas bersama Privasia Technology Bhd., sebuah teknologi maklumat yang disenarai di Bursa Malaysia.
Datasonic turut mencadangkan supaya nama syarikat itu ditukar kepada NexG Bhd. -MalaysiaGazette