Senjata api yang digunakan suspek bagi kes samun pada sidang media berhubung penangkapan kes samun bersenjata di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan Ahad lalu kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis dan melakukan samun bersenjata terhadap seorang perempuan warga Indonesia di sebuah rumah di Jalan Metro Barat Perdana Timur 2, Taman Usahawan Kepong, di sini, pada 7 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kedua-dua suspek telah datang ke rumah mangsa dan mendakwa diri sebagai anggota polis.

“Suspek yang berusia 42 tahun dan 55 tahun telah memberitahu mangsa bahawa mereka ingin membuat pemeriksaan rumah.

“Wanita berusia 40 tahun kemudian berasa curiga dengan tindakan suspek dan telah bertindak menghubungi Balai Polis Kepong untuk meminta bantuan,”

“Suspek kemudian merampas telefon bimbit milik wanita berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Sentul hari ini.

Menurut Ahmad Sukarno memaklumkan, satu serbuan dan tangkapan telah dilakukan oleh sepasukan polis daripada Balai Polis Kepong pada 8 Disember lalu.

Tambah beliau, kedua-dua suspek telah direman selama enam hari sehingga hari ini dan semakan rekod mendapati salah seorang mempunyai kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati salah seorang suspek merupakan pengawal peribadi dengan 7 tahun pengalaman dan seorang lagi adalah penganggur.

“Pistol yang digunakan oleh mangsa merupakan pistol milik syarikat tempat dia bekerja,” ujarnya.

Ahmad Sukarno berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api PLB 1971 kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata api.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan, ujarnya.

Manakala, Seksyen 8 Akta Senjata Api PLB 1971 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here