KUALA LUMPUR – FedEx Malaysia berganding bahu dengan Treat Every Environment Special (TrEES) untuk menangani isu ketidakjaminan makanan melalui program kebun komuniti.
Program yang memasuki tahun kedua itu membekalkan sayur-sayuran yang segar kepada komuniti yang memerlukan selain meningkatkan nutrisi dan mengurangkan kos makanan.
Inisiatif berkenaan dimulakan dengan penubuhan kebun sayur yang diuruskan oleh TrEES dengan sokongan sukarelawan FedEx.
Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Woon Tien Long berkata, kebun itu mampu menghasilkan sayur-sayuran untuk kira-kira 700 hidangan setiap bulan kepada rumah kebajikan dan golongan berpendapatan rendah.
Rumah kebajikan seperti Pusat Jagaan Ros Biru di Klang melaporkan program itu menyaksikan pengurangan 20 peratus dalam kos perbelanjaan runcit dan membolehkan mereka menyalurkan sumber ini kepada komuniti yang lebih memerlukan dan kritikal.
“Di FedEx, matlamat utama kami adalah mencapai perubahan yang bermakna. Kami berharap dapat meningkatkan kesejahteraan dan mengalakkan gaya hidup yang lebih sihat bagi komuniti yang memerlukan,” kata Tien Long dalam satu kenyataan.
Melalui kerjasama dengan TrEES, pihaknya berjaya menangani ketidakjaminan makanan, mempromosikan kelestarian dan meningkatkan penglibatan komuniti. Kami juga dapat memperkasakan komuniti yang kurang bernasib baik dan menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari.
Sementara itu, menurut Pengarah TrEES, Leela Panikkar, kerjasama bersama FedEx amat penting untuk meningkatkan impak bagi inisiatif berkenaan.
“Dengan sokongan mereka, kami berjaya memperluaskan capaian kami untuk membekalkan sayur-sayuran yang segar bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Kerjasama ini bukan sahaja memenuhi keperluan segera kepada mereka tetapi juga menekankan pentingnya tindakan kolektif dalam membina komuniti yang lebih kuat dan mampan,” katanya.
Kebun sayur komuniti TrEES telah membawa kesan positif yang berkekalan kepada individu dan masyarakat secara keseluruhan.
Dengan menyediakan sayur-sayuran segar sepanjang tahun, inisiatif ini berjaya mengurangkan ketidakjaminan makanan dan meningkatkan sumber makanan yang berkualiti.
Para penerima melalui program juga berkongsi bagaimana sokongan ini membantu mereka mengharungi saat-saat sukar dan memberikan mereka harapan dan kestabilan.
Selain menangani ketidakjaminan makanan, program yang sama juga mempromosikan tabiat pemakanan yang sihat dan mengukuhkan ikatan sosial diantara komuniti.
Sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan FedEx memainkan peranan penting dalam penjagaan kebun sayur komuniti ini.
Pada masa yang sama, mereka juga memperoleh kemahiran yang berharga menerusi pertanian mampan dan pemakanan yang sihat.- MalaysiaGazette